Menurut laporan Oddity Central, upacara ritual tersebut merupakan kombinasi acara keagamaan Katholik dan budaya Sepanyol yang diadakan pada bulan Mei setiap tahun
Ia bermula sejak sekian lama, apabila penduduk La Esperanza dan El Rancho Las Lomas saling bergaduh sesama mereka di sebuah padang yang terletak di sempadan antara kedua-dua pekan itu.
Pada hari pertama ritual, golongan wanita akan bangun awal untuk menyediakan makanan yang banyak seperti ayam turki, ayam, nasi, telur yang direbus, pozole, mole dan tortillas untuk dibawa ke gelangang perlawanan.
Ritual dimulakan dengan penduduk kampung berdiri mengelilingi satu bulatan dan menunggu lawan mereka tiba daripada penduduk kampung yang tinggal berhampiran.
Selepas itu, wanita yang lebih tua dan berpengalaman akan mencabar gadis-gadis muda untuk bertarung dengan mereka sehingga bertumpah darah.
Menurut majalah VICE, bagi mereka, apa yang penting ialah darah daripada perlawanan itu, bukannya tentang siapa yang bakal menang.
Kadangkala golongan lelaki dan kanak-kanak akan turut menyertai upacara itu sehingga larut malam. Selepas itu mereka akan memeluk sesama sendiri dan pulang ke rumah masing-masing.
Profesor David Delgado dari Universiti Chapingo, yang menjalankan kajian selama 12 tahun mengenai upacara itu percaya perlawanan ritual itu telah bermula sejak zaman Aztec.
“Ia bermula ketika musim menuai jagung. Penduduk di sini terdiri daripada tiga komuniti dan apabila salah satu kaum mencampuri urusan kaum lain, mereka akan bergaduh sesama mereka. Mereka mendakwa pergaduhan itu menyebabkan tuhan mereka, Tlaloc telah mengambil hujan daripada mereka.
“Dua kaum itu kemudian mencadangkan supaya satu pertandingan diadakan bagi menentukan siapa boleh mengambil semula hujan semula daripada tuhan Tlaloc,” tambah beliau.
Menurut kepercayaan kaum itu, satu titik darah adalah bersamaan satu titik hujan.