Menurut laporan portal Mail Online, kubur besar itu mengandungi kira-kira 1,800 rangka manusia yang dikebumikan sejak tahun 1195 ketika kawasan itu dimilik Hospital St. John the Evangelist.
Antara yang dikebumikan di situ adalah pensyarah Universiti Cambridge, gelandangan, dan golongan miskin yang hidup pada Zaman Pertengahan iaitu ketika England mengalami zaman kemerosotan ekonomi dan sosial.
Penggalian itu dilakukan di kawasan Sekolah Old Divinity, sebuah bangunan yang dimiliki oleh Kolej St. John yang diasaskan pada tahun 1511 dan nama­nya diambil sempena kawasan hospital berkenaan.
Pakar Unit Arkeologi Cambridge, Craig Cessford berkata, kawasan perkuburan hospital itu merupakan yang terbesar pernah ditemukan di Britain dan analisis asid deoksiribonukliek (DNA) terhadap rangka tersebut boleh menyingkap kehidupan pada Zaman Pertengahan.
Jelasnya, penemuan rangka manusia berasal antara abad ke-13 hingga ke-15 merupakan perkara yang menakjubkan dan kebanyakan rangka itu merupakan lelaki berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Cara mereka ditanam juga sangat kemas dan apabila tanah perkuburan itu penuh, mayat baharu akan ditanam di lapisan kedua di atas lapisan pertama.
“Identiti kesemua rangka itu masih misteri, tetapi laluan batu kerikil yang turut ditemukan, menunjukkan bahawa tanah perkuburan tersebut pernah dilawati oleh ahli keluarga masing-masing,” katanya.