Perancis perlu lebih banyak masjid
Umat Islam di Perancis menghadapi kekurangan tempat untuk beribadat.
PARIS - PERANCIS. Salah seorang pemimpin tertinggi Islam di Perancis menggesa untuk menggandakan jumlah masjid dalam tempoh dua tahun akan datang untuk memenuhi kekurangan tempat ibadat bagi jutaan penduduk Islam di negara itu.

Ketua Majlis Islam Perancis, Dalil Boubakeur berkata, sejumlah 2,200 masjid yang ada ketika ini tidak cukup untuk menampung komuniti Islam terbesar di Eropah.

"Kita perlu membina sehingga dua kali ganda dalam dua tahun lagi. Terdapat banyak surau, masjid yang belum siap dibina dan banyak juga masjid yang tidak dibina," katanya di perhimpunan Kesatuan Pertubuhan Islam Perancis (UOIF).

Beliau turut menekankan bahawa masyarakat Islam di Perancis perlu dihormati dan mempunyai hak untuk pengiktirafan serta pertimbangan daripada penduduk tempatan sama seperti masyarakat lain di negara tersebut.

Menurut anggaran rasmi, terdapat antara empat dan lima juta umat Islam tinggal di Perancis, namun pemimpin Islam berkata jumlah sebenar hampir mencecah tujuh juta orang. - Press TV