Sebahagian besar kawasan istana Muammar Gaddafi di Benghazi, dijadikan pusat perniagaan dengan orang ramai menjual pakaian dan haiwan peliharaan. AGENSI
TRIPOLI 6 April - Istana milik bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang dahulunya pernah menjadi simbol menyemai ketakutan dalam hati rakyat, kini tidak digeruni sebaliknya dijadikan sebagai pasar jualan pakaian dan haiwan peliharaan.
Malah kebanyakan kawasan istana tersebut hanya tinggal runtuhan meskipun sebelum kejatuhan Muammar pada 2011 akibat revolusi rakyat, orang ramai berasa bimbang untuk jalan berhampiran kediaman itu yang kelihatan seperti kubu besar.
Bercakap tentang kehidupan sebelum revolusi, seorang pemandu teksi yang dikenali sebagai Hassan berkata, orang ramai takut untuk berada berdekatan Istana Bab al-Aziziya yang terletak di Tripoli.
“Rakyat tidak berani memandang dinding istana tersebut kerana bimbang akan ditahan,” katanya seperti dilaporkan portal Mail Online.
Hampir semua struktur kompleks istana tersebut musnah akibat serangan tentera bersekutu diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan hanya tinggal beberapa buah bangunan rosak, lantai hijau rumah Muammar dan rangkaian terowong bawah tanah.
Jurucakap Kementerian Pelancongan, Adel Mohammed Farina berkata, Istana Bab al-Aziziya yang juga simbol era pemerintahan Muammar, kini musnah.
“Beliau hanya boleh dikenang dalam buku sejarah dan dokumentari, tetapi bukan peninggalan pemerintahannya,” katanya.
Sebuah lagi kediaman Muammar di Sabha, selatan Libya turut menerima nasib yang sama manakala di timur Benghazi, kumpulan pedagang menjadikan lebih 10 hektar kawasan milik Gaddafi sebagai pusat perniagaan.
No comments:
Post a Comment