BEIJING – Satu laluan kereta api antara China dan Nepal termasuk pembinaan sebuah terowong di bawah Gunung Everest kini dalam pertimbangan, ujar media rasmi China semalam.
Menurut akhbar China Daily, landasan kereta api Qinghai-Tibet telah menghubungkan China dengan ibu kota Tibet, Lhasa dan lebih jauh lagi dengan tambahan laluan tersebut hingga ke sempadan antarabangsa sudah dirancang atas permintaan Nepal.
“Projek ini dijangka siap menjelang 2020,” menurut akhbar berkenaan yang memetik kenyataan seorang pegawai Tibet.
Menteri Luar China, Wang Yi melawat ibu kota Nepal, Kathmandu pada Disember tahun lalu, manakala landasan itu menurut media Nepal, boleh dipanjangkan hingga ke Kathmandu dan lebih jauh sekali gus menjadi laluan utama untuk China menerokai pasaran besar di India.
Projek itu memerlukan sebuah terowong dibina di bawah Gunung Everest, lapor China Daily.
“Landasan itu berkemungkinan besar akan merentasi Everest. Justeru, kami perlu menggali beberapa terowong yang amat panjang,” kata seorang jurutera, Wang Mengshu kepada akhbar berkenaan.
Beliau memberitahu, Banjaran Himalaya yang memiliki bentuk mukabumi mencabar akan menyebabkan kereta api menuju ke Kathmandu dapat bergerak pada kelajuan maksimum cuma 120 kilometer sejam.
Pelan itu bagaimanapun menerima kritikan pelbagai pihak yang bimbang projek itu berbahaya daripada aspek keselamatan selain berisiko memusnahkan ekosistem Banjaran Himalaya. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3WrPCC9Zb
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment