Pages

Saturday, April 25, 2015

Kembara memburu cinta

Shenzhen, China: Seorang lelaki dari Kanada sanggup mengembara sehingga ke bandar ini semata-mata untuk mencari kekasihnya yang dikenali di Internet.
Jake, 60, itu turut menggantung sepanduk di lehernya dan berjalan di sekitar bandar ini dengan harapan dapat bertemu dengan kekasihnya yang dikenali sebagai RiLi.
Lelaki itu berkata, dia berkenalan dengan RiLi menerusi laman sesawang mencari jodoh hampir setahun yang lalu dan terus jatuh cinta.
Wanita yang menggunakan nama samaran RiLi itu memberitahu Jake, dia berusia 45 tahun, sudah bercerai dan bekerja di sebuah kilang pakaian di Shenzhen.
Agensi Berita Sina melaporkan, selama 11 bulan pasangan itu menghantar lebih 300 mesej di laman sesawang berkenaan dan berkomunikasi menggunakan penterjemah.
Lelaki itu memberitahu dia menghabiskan hampir AS$2,000 (RM7,272) untuk membayar perkhidmatan laman sesawang berkenaan.
Ujarnya, mereka sering mengirim puisi cinta dan masing-masing mengaku saling mencintai.
Bagaimanapun, laman sesawang berkenaan menghalang semua maklumat peribadi menyebabkan dia tiada cara untuk menghubungi wanita itu.
Selepas RiLi gagal membalas pesanan Jake selama beberapa minggu, dia mengambil keputusan mencari wanita itu di China walaupun tidak mengetahui nombor telefon atau nama sebenar kekasihnya itu.
Jake yang menetap di sebuah hotel di sini membuat satu poster yang digantung di lehernya dan berusaha mencari maklumat mengenai RiLi.
Sejak dua minggu lalu, Jake berjalan di bandar ini dengan poster di lehernya dan berharap promosi di laman sosial akan dapat menarik perhatian wanita itu.
“Penduduk di sini sangat peramah. Mereka merakam gambar saya dan memuat naik di laman sosial.
“Saya sangat terharu dengan sokongan yang saya terima ini,” katanya.
Namun, beberapa pengguna laman sosial memberi amaran bahawa RiLi mungkin tidak seperti yang dikenali Jake di laman sesawang berkenaan.
“Saya percaya padanya. Kami berhubung selama 11 bulan dan dapat merasai bahawa dia mencintai saya,” tegasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:04 PM


JAKE tidak putus asa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/46016#sthash.6CaqhomK.dpuf

No comments: