Peregrine Church menunjukkan keunikan lukisan Seni Hujan di Seattle yang hanya muncul jika dibasahi air. AGENSI
NEW YORK 30 Mac - Seorang penggiat seni dari Amerika Syarikat (AS) mempamerkan kemahirannya dalam dunia magis apabila menghasilkan lukisan yang hanya akan muncul apabila dibasahi air dan tidak boleh dilihat jika kering.
Penggiat seni, Peregrine Church dari Seattle, menggelar seni jalanan itu sebagai ‘Seni Hujan’ di tempat asalnya yang sering dilanda hujan.
Bagi menghasilkan karya mengagumkan itu, Church menggunakan kertas stensil dan teknik lapisan kalis air untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat, termasuk melarang orang awam membuang air kecil merata-rata.
Church telah menghasilkan kira-kira 30 lukisan Seni Hujan di seluruh Seattle, antaranya mempunyai mesej seperti ‘Pastikan Anda Kering’ (Stay Dry Out There), ‘Kesilapan 404: Matahari Tidak Dijumpai’ (Error 404: Sun Not Found) dan ‘Bangga kerana Hujan’ (Proud to be Rainy).
Menurut Church, dia menggunakan produk kalis air dari syarikat Nanex, Always Dry Wood & Stone yang tidak mengandungi bahan toksik dan selamat, selain mampu bertahan selama empat bulan sebelum hilang serta tidak memberi kesan berkekalan kepada harta benda awam.
“Saya berasa sangat bersemangat untuk menghasilkan karya yang boleh menjadikan dunia ini lebih menarik.
“Lukisan Seni Hujan merupakan seni jalanan yang hanya muncul apabila dalam keadaan basah.
“Mesej yang disampaikan bertujuan menjadikan orang ramai lebih gembira meskipun dalam keadaan hujan,” katanya seperti yang dilaporkan portal Oddity Central.
No comments:
Post a Comment