Pages

Saturday, January 24, 2015

Muncul setiap 200 tahun


Kuala Lumpur: Asteroid 2004 BL86 bersaiz 500 meter diameter (0.5km) yang menghampiri bumi setiap 200 tahun sekali muncul semula pada Selasa ini, jam 12.20 tengah malam.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan berkata, Asteroid itu berada paling hampir dengan bumi pada jarak 1.2 juta kilometer atau lebih kurang tiga kali jarak bumi ke bulan.
“Kecerahan Asteroid 2004 BL86 dianggarkan pada magnitud kesembilan dan bergerak pada orbitnya mengelilingi matahari dengan kelajuan 56,420km sejam pada 26 dan 27 Januari.
“Pada kedudukan ini, ia kelihatan bergerak di hadapan bintang dan dapat dilihat hanya menerusi teleskop atau binokular berkuasa tinggi,” menurut kenyataan itu.
Asteroid 2004 BL86 ini ditemukan oleh teleskop Lincoln Near-Earth Asteroid Research (LINEAR) di White Sands, New Mexico pada 30 Januari 2004.
“Penyelidik di seluruh dunia menjangkakan, selepas kemunculan Asteroid 2004 BL86 pada tahun ini, tiada asteroid lain yang diketahui berada paling hampir dengan bumi sehingga tahun 2027.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia tidak mendatangkan bahaya kepada bumi,” menurut kenyataan itu.
Untuk mencerap, orang ramai boleh merujuk kepada buruj Cancer dan tempat pencerapan mestilah jauh daripada pencemaran cahaya di kawasan lapang.
“Observatori Negara Langkawi (ONL) dengan kerjasama Angkasa juga menjalankan pencerapan Asteroid 2004 BL86 pada Selasa ini,” katanya.
Angkasa mengalakkan orang ramai yang memiliki teleskop sendiri, berkongsi gambar di laman sosial Angkasa iaitu Facebook: Agensi Angkasa Negara dan Twitter: angkasamalaysia. Imej yang dimuat naik juga boleh diletakkan hashtag: #ASTEROID2004BL86Malaysia.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi ONL di talian 04-966 8870 atau Planetarium Negara di talian 03-2273 4303 dan e-mel di webmaster@angkasa.gov.myplanetariumweb@angkasa.gov.my.– BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:56 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26022#sthash.ZyuwaIq5.dpuf

No comments: