RIGA 17 Sept. - Seorang lelaki Latvia yang kehilangan kedua-dua belah tangannya akibat kemalangan, membuktikan kemampuan dirinya untuk mendapatkan lesen kereta apabila lulus ujian memandu pada percubaan pertamanya dengan mengawal stereng menggunakan kaki.
Gatis Caunitis seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online, lulus dalam ujian memandu dan memperoleh lesen pada Ahad lalu walaupun dia hanya boleh memandu kereta gear automatik sahaja.
Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Riga itu menggunakan kaki kiri untuk mengawal stereng, manakala sebelah lagi kakinya digunakan menekan minyak, menukar gear dan memasukkan kunci kereta.
Walaupun dia hanya menggunakan kaki untuk memandu, penumpang yang menaiki kereta bersamanya mengakui corak pemanduan lelaki kurang upaya itu sangat selamat.
Caunitis kehilangan kedua-dua tangannya pada usia enam tahun apabila terkena renjatan elektrik selepas memasuki bilik elektrik yang tidak berkunci ketika bermain bersama rakan-rakannya.
Namun, tragedi itu tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan secara normal dan buktinya, dia berjaya mendapatkan lesen memandu selepas dibantu oleh seorang pengajar.
"Pengajar di sekolah memandu tidak terkejut apabila melihat kecacatan saya dan dia juga tidak berasa takut dengan membenarkan saya memandu kereta.
"Saya berjaya melepasi ujian teori dan praktikal pada percubaan pertama," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140918/lu_10/Lelaki-lulus-ujian-memandu-guna-kaki#ixzz3DcGHaZ64
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment