Pages

Sunday, August 24, 2014

Pasukan penyelam cari loceng keramat



GAMBAR menunjukkan Loceng Mingun seberat 90 tan yang merupakan antara beberapa loceng gergasi yang terdapat di Myanmar.


YANGON - Sejumlah penyelam turun ke dasar Sungai Yangon di sini baru-baru ini untuk mencari loceng gangsa terbesar di dunia yang dipercayai berada di dasarnya selama lebih empat abad.
Memiliki berat 270 tan atau melebihi berat 100 ekor gajah, loceng misteri itu yang dinamakan loceng Raja Dhammazedi menjadi simbol kebanggaan rakyat Myanmar.
Operasi tersebut jauh berbeza daripada pencarian sebelumnya kerana kali ini, pasukan penyelam bergantung kepada mantera dan kaedah spiritual lain untuk mencari loceng itu sekali gus mengetepikan cara saintifik.
Menurut sejarah dan legenda tempatan, Raja Dhammazedi memerintahkan loceng itu ditempa pada penghujung kurun ke-15 untuk diletakkan di Pagoda Shwedagon yang terletak di puncak sebuah bukit di sini.
Loceng itu berada di pagoda tersebut selama lebih 130 tahun sebelum ia dicuri tentera upahan Portugis diketuai oleh Philip de Brito.
De Brito mahu meleburkan loceng gangsa itu untuk membuat meriam kapal perangnya.
Namun, loceng yang amat berat itu tenggelam ketika dibawa menaiki sebuah kapal lama menyusuri sungai ini.
Ramai penduduk di Myanmar percaya loceng Raja Dhammazedi masih berada di bawah lapisan lumpur dan pasir di dasar sungai itu.
Namun, pelbagai usaha untuk mencari artifak itu menggunakan sonar dan peralatan berteknologi tinggi pada masa lalu gagal membuahkan hasil.
Operasi terbaharu ini pula dijangka berlanjutan selama 45 hari dan menelan belanja AS$250,000 (RM790,250) menggunakan wang derma orang awam.
"Saya percaya loceng ini dilindungi sumpahan," kata ketua operasi pencarian tersebut yang merupakan seorang bekas pegawai tentera laut Myanmar, San Lin.
Pada satu sidang akhbar Julai lalu, Lin memberitahu, dia ialah penjelmaan semula salah seorang daripada 14 penjaga artifak tersebut.
Menurutnya, dia boleh berhubung dengan semangat yang telah menghalang usaha untuk menemui loceng itu pada masa lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3BGGIfQWp 
Hakcipta terpelihara 

No comments: