Pages

Sunday, August 24, 2014

Sistem seperti kulit manusia


SAINTIS Britain sedang mencipta sistem kulit pintar yang membolehkan sesebuah pesawat mengetahui perubahan angin, kelajuan, suhu, tekanan fizikal dan pergerakan lebih baik daripada teknologi sedia ada.- AGENSI
LONDON 23 Ogos - Pakar kejuruteraan Britain kini sedang membina sistem yang menyerupai fungsi kulit manusia, untuk dipasang di sekeliling bahagian luar badan kapal terbang, bagi mengesan sebarang kerosakan atau perubahan persekitaran.
Mail Online melaporkan, jurutera dari Pusat Sistem Teknologi Maju BAE sedang giat menjalankan kajian untuk menghasilkan sistem yang dikenali sebagai `kulit pintar’ itu, yang bakal dilengkapi dengan puluhan ribu pengesan mikro.
Pemasangan kulit pintar tersebut membolehkan sesebuah pesawat mengetahui perubahan angin, kelajuan, suhu, tekanan fizikal dan pergerakan lebih baik daripada teknologi sedia ada.
Ketua penyelidikan dan pembangunan sistem berkenaan, Lydia Hyde berkata, idea untuk menghasilkan sistem itu lahir selepas beliau melihat bagaimana mesin basuh menggunakan alat pengesan bagi memastikan suhunya tidak terlalu panas.
“Saya memerhatikan bagaimana pengesan berkenaan menghalang mesin basuh tersebut berada pada suhu yang tinggi. Saya mengambil teori ini dan mahu mengaplikasikannya dalam projek terbaharu saya," jelasnya.
Kata Hyde, sistem itu juga akan mengurangkan kekerapan pemeriksaan berkala, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam proses penukaran alat ganti kapal terbang, selain meningkatkan keselamatan.
“Pengesan yang digunakan pada sistem kulit pintar tersebut sangat kecil, sebesar butiran beras atau lebih kecil daripada itu," ujarnya.
Secara kolektifnya, pengesan akan berfungsi apabila dipasangkan dengan perisian yang sesuai, konsep komunikasi yang sama diguna pakai oleh kulit manusia dalam menghantar isyarat kepada otak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140824/lu_09/Sistem-seperti-kulit-manusia#ixzz3BG62eY3A
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: