Pages

Friday, August 8, 2014

Guna duit syiling bayar saman


GAMBAR bertarikh 31 Julai lalu merakamkan Andres Carrasco bergambar bersama beberapa baldi yang mengandungi duit syiling, sebahagian daripada ganti rugi yang dimenanginya dalam tuntutan ke atas syarikat insurans, Adriana. - AGENSI
LOS ANGELES 7 Ogos - Sebuah syarikat insurans Amerika Syarikat menggunakan duit syiling bagi menyelesaikan sebahagian daripada tuntutan saman seorang lelaki warga emas di sini, kata peguambelanya, semalam.
Lelaki itu, Andres Carrasco, 76, menerima kira-kira 17 buah baldi yang mengandungi ribuan duit syiling 25 sen, lima sen, 10 sen dan satu sen daripada syarikat perkhidmatan insurans, Adriana yang dianggarkan berjumlah kira-kira AS$20,000 (RM64,053).
Ganti rugi itu hasil daripada saman yang difailkan Carrasco ke atas firma yang beribu pejabat di Rancho Cucamonga tersebut pada 2012.
Lelaki dari Los Angeles Timur itu mendakwa, semasa dia cuba mendapat penjelasan daripada syarikat berkenaan berhubung pembatalan insuransnya secara automatik, seorang ejen firma itu bertindak mengasari dan menghalaunya dari pejabat syarikat tersebut.
Syarikat itu kemudiannya mencapai penyelesaian dengan warga emas berkenaan berhubung kes tersebut pada Jun lalu dan mula membayar sebahagian daripada ganti rugi yang tidak dinyatakan pada minggu lalu dalam bentuk cek serta meninggalkan beberapa buah baldi di pejabat peguam tersebut.
Peguambela itu, Antonio Gallo berkata, dia enggan menerima baldi berkenaan kerana tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar wang di dalam baldi tersebut, namun baldi itu diletakkan semula di pejabatnya pada keesokan harinya semasa dia berada di mahkamah.
"Menurut pembantu saya, sebanyak lapan lelaki datang dan meletakkan baldi-baldi itu di ruang lobi pejabat.
"Terdapat kira-kira 17 buah baldi dan setiap satu baldi dianggarkan seberat 31 kilogram hingga 45 kilogram. Saya hanya mengandaikan kerana saya tidak mampu meng­angkatnya," kata Gallo yang enggan mendedahkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Adriana dan menganggarkan kesemua baldi itu mengandungi wang berjumlah AS$20,000 (RM64,053).
Sementara itu, Carrasco berkata, dia berasa kecewa dengan cara Adriana melayan pelanggannya lebih-lebih lagi warga emas sepertinya.
"Kami mungkin orang miskin, namun kami juga manusia," kata Carrasco kepada KNBC-TV manakala cubaan untuk menghubungi peguam Adriana, Edvin Flores gagal. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_14/Guna-duit-syiling-bayar-saman#ixzz39kJwUJsD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: