BEIJING 13 Julai - Aksi seorang kanak-kanak lelaki dari China berusia lima tahun mengendalikan jentera pengorek yang tersebar dalam internet, mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti pembinaan bangunan dan jalan raya di negara ini yang sering runtuh dan rosak.
Mail Online melaporkan, dalam rakaman video itu, Whang Shuhan mengawal jentera berat itu untuk mengorek tanah dengan aksi bersahaja di satu tapak pembinaan di Whuan dekat wilayah Hubei, tengah China.
Malah ayahnya, Wang Xuebing yang dipercayai merakamkan aksi anaknya itu, menggalakkan Shuhan mengikut jejaknya mengendalikan jentera pengorek dan sering membawa anaknya itu ke tempat kerja.
"Pada usia tiga tahun, Shuhan telah mula mengemudi kenderaan tersebut selepas saya memberi penerangan kepadanya tentang fungsi gear dan bahagian lain.
"Dia melihat jentera itu sebagai alat permainan yang besar dan saya juga sentiasa memantau Shuhan setiap kali dia mengendalikan jentolak tersebut sebagai langkah berhati-hati," katanya.
Tindakan Xuebing membenarkan anaknya membuat kerja pembinaan meningkatkan kebimbangan tentang kualiti struktur yang dibina selepas kejadian tempat letak kereta bawah tanah runtuh ekoran dilanda angin kuat dan hujan lebat di bandar Yan'an, wilayah Shaanxi di barat China, baru-baru ini.
Jurutera mendakwa kuantiti air yang banyak membanjiri kawasan itu tidak mampu ditampung dengan baik, tetapi media tempatan menyalahkan mereka kerana tidak mengikut asas pembinaan dengan betul.
Dalam kejadian lain pada awal minggu ini, sebuah lagi tempat letak kereta di Chengdu, barat laut China turut runtuh selepas hujan lebat, dipercayai berpunca akibat kelemahan yang sama seperti kejadian di Yan'an.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_09/Budak-5-tahun-kawal-jentera-berat#ixzz37OJrwSrr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment