Pages

Monday, July 14, 2014

Bas dua tingkat Routemaster sambut ulang tahun ke-60


ORANG ramai mengambil kesempatan mengambil gambar bas paling ikonik di Britain, Routemaster sempena sambutan ulang tahun ke-60 bas dua tingkat itu yang diadakan di Taman Finsbury, London, hari ini. - AGENSI
LONDON 13 Julai - Kira-kira 130 buah bas dua tingkat, Routemaster yang merupakan lambang paling ikonik di kota London, akan terlibat dalam perarakan di ibu negara Britain ini, esok sempena sambutan ulang tahun peringatan ke-60 pembinaan bas itu.
Menurut Mail Online, majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Routemaster bertempat di Taman Finsbury itu juga memberi peluang kepada orang ramai menaiki bas berkenaan untuk bersiar-siar di sekitar bandar London.
Malah bas Routemaster yang kini berada di Scotland, Jerman dan Perancis telah dipanggil untuk menyertai konvoi tersebut bagi mengembalikan nostalgia sebagai antara sistem pengangkutan awam paling awal bertapak di Britain.
Prototaip Routemaster pertama dibangunkan antara 1947 dan 1956 dengan reka bentuk yang lebih ringkas dan jimat minyak.
Walaupun bas klasik itu tiga tan lebih ringan berbanding bas persiaran yang memuatkan 56 penumpang, tetapi Routemaster boleh membawa 64 orang penumpang pada satu-satu masa.
Kini selepas 60 tahun berlalu, kebanyakan model bas itu dicat semula tetapi ramai pemilik Routemaster mengekalkan iklan dan poster asal yang ditampal pada kenderaan tersebut.
Untuk mengembalikan suasana zaman kegemilangan Routemaster, penganjur turut memasang skrin televisyen yang menggunakan gulungan filem lama, gerai cenderahati dan gerai makanan yang berkonsepkan era klasik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_08/Bas-dua-tingkat-Routemaster-sambut-ulang-tahun-ke-60#ixzz37OJeqY7G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: