Iwan Suwandi menggali kubur bagi mengkebumikan mangsa tanah runtuh di Banjarnegara, Jawa Tengah baru-baru ini.
BANJARNEGARA, Jawa Tengah - Tragedi tanah runtuh di daerah ini yang berlaku pada Jumaat lalu mengejutkan rakyat Indonesia selepas bencana alam itu meragut puluhan nyawa penduduk Kampung Jemblung, sementara puluhan lagi masih hilang.
Bagaimanapun, puluhan jenazah yang dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Kampung Aliyan, Karangkobar mengundang misteri luar biasa buat penggali kubur merangkap penyelaras pengkebumian mangsa tanah runtuh itu, Iwan Suwandi, 45 tahun.
Menurut Iwan yang mengetahui perincian setiap jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan itu, dia melihat banyak mayat dalam keadaan mengerikan termasuk mayat ditemui tanpa kepala dan mayat tanpa anggota badan.
Daripada puluhan mangsa yang dikebumikan, dua jenazah yang dikebumikan Isnin lalu, kubur mereka sehingga kini menjadi tanda tanya dan misteri buat Iwan.
Iwan berkata, jenazah Burham, 50, dan Ahmad Fauzi, 30, yang ditemui pada hari ketiga operasi mencari mengeluarkan bau yang berbeza dengan jenazah lain meskipun keadaan mayat itu telah hancur ditimpa tanah sejak Jumaat lalu.
“Dikebumikan di liang bersebelahan, dua jenazah itu mempunyai bau yang sama iaitu bukan bau ubat tetapi wangi yang kuat seperti haruman bunga,’’ kata Iwan kepada portal Vivanews, Selasa lalu.
Iwan berkata, selain peristiwa yang berlaku kepada jenazah Burham dan Ahmad Fauzi, peristiwa aneh juga berlaku kepada jenazah anak beranak bernama Klimah dan Diana.
“Jenazah ibu dan anak itu membuatkan saya berasa hairan, ia tidak berbau malah keadaan mayat kedua-duanya masih dalam keadaan baik tanpa kesan darah meskipun ditimpa runtuhan,’’ kata Iwan sambil beristigfar.
Iwan berkata, melihat keadaan itu, dia meminta supaya jenazah anak beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad.
“Ini adalah keajaiban Tuhan. Pada hal banyak jenazah lain yang tubuh badan mereka tidak lagi sempurna dan berbau busuk sehingga saya terpaksa memakai topeng muka,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment