Pages

Friday, October 10, 2014

Kerja tiga hari saja



Mexico City: Carlos Slim, taikun Mexico yang juga orang paling kaya di dunia mencadangkan supaya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap sistem keseimbangan kehidupan dan bekerja yang akan menyaksikan waktu bekerja hanya tiga hari seminggu.

Slim yang bernilai lebih AS$80 bilion (RM260 bilion) berkata, untuk menyesuaikan dengan sistem itu, waktu bekerja perlu selama 11 jam sehari, bukan lapan jam seperti sekarang dan usia persaraan ditingkatkan kepada 75.

“Dengan cara ini, kita boleh menikmati lebih banyak masa sepanjang hayat.


Tak perlu tunggu hingga kita berusia 60 tahun dan bersara,” katanya.

Bilionair berusia 74 tahun itu mengemukakan idea itu pada satu persidangan di Paraguay.

Dia berkata, konsep itu bukan setakat boleh mencergaskan pekerja tetapi juga memberi kesan positif kepada pasaran ekonomi dan kewangan.

“Dengan bekerja tiga hari seminggu, kita akan mempunyai lebih banyak masa untuk berehat, menikmati kehidupan berkualiti,” katanya pada persidangan itu.

“Biar mesin yang bekerja 24 jam sehari.


Manusia berhak untuk berhibur, bersantai bersama keluarga dan menjalani latihan untuk bekerja dengan lebih baik.

“Ia akan menghasilkan masyarakat berpengetahuan dan berpengalaman,” katanya.

Slim bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada gaji perlu dikekalkan atau dikurangkan selaras dengan hari bekerja yang sudah berkurangan itu.


Namun, dia yakin, ia boleh dilakukan walaupun tidak tahu bila.

Slim berkata, dia sudah melaksanakan sebahagian sistem berkenaan di syarikatnya.

Pekerja di syarikat bekenaan dibenarkan bersara pada usia 50 dan boleh terus bekerja empat hari seminggu dengan gaji penuh.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/10

No comments: