NEW YORK 26 Sept. - Satu peta yang dilakar oleh pelayar terkemuka, Marco Polo menunjukkan pengembara Itali itu mungkin telah meneroka benua Amerika pada abad ke-13, 200 tahun lebih awal berbanding seorang lagi peneroka dari negara yang sama, Christopher Columbus.
Laporan portal berita Mail Online yang memetik kenyataan majalah sejarah, Smithsonian berkata, peta tersebut dilakar semula di atas kulit kambing biri-biri yang dipercayai menunjukkan keseluruhan Selat Bering, Alaska, Kepulauan Aleutian dan barat kawasan pesisiran pantai Amerika Utara.
Jelas laporan itu, peta yang digelar sebagai Peta Kapal (Map With Ship) merupakan antara 14 dokumen yang dikaji dengan teliti buat pertama kali selepas ditemukan di dalam sebuah peti simpanan milik Polo yang tinggal di San Jose, California.
Tambahnya, semua dokumen berkenaan dipercayai ditulis oleh anak Polo, Bellala yang menceritakan semula pelayaran ayahnya termasuk pertemuan dengan seorang pedagang Syria di Semenanjung Kamchatka, jauh di pinggir timur benua Asia sebelum belayar merentasi Teluk Bering ke Amerika Utara.
"Jika Polo belayar ke Amerika Utara, beliau akan merentasi Teluk Bering sejauh 82 kilometer, hamparan yang menghubungkan titik paling hujung di timur Asia ke titik paling hujung di barat Alaska.
"Menurut dokumen itu, tanah yang diteroka oleh Polo dikenali sebagai Semenanjung Seals yang dua kali lebih jauh dari Kamchatka di China," kata laporan tersebut.
Jika dokumen terbabit sahih, ia boleh mengubah sejarah sebelum ini yang dilakar oleh Columbus yang dilaporkan berjaya mengelilingi dunia dari Portugal pada 1942.
Seorang ahli sejarah Universiti Philadelphia yang mengkaji dokumen itu, Benjamin B. Olshin, berkata, Polo dipercayai mempunyai pengalaman mengembara di barat laut Amerika Utara yang mungkin dimaklumi oleh pedagang Arab atau China.
Buku sejarah yang ditulis Benjamin, The Mysteries of the Marco Polo Maps, dijangka dipasarkan pada November ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140927/lu_12/Marco-Polo-teroka-benua-Amerika-lebih-awal#ixzz3ESWyH7MJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment