Jamaliah (kiri) mencium Raudhatul Jannah sambil diperhatikan Septi dan neneknya Sarwani selepas menunaikan solat di Masjid Baiturrahman di Banda Aceh semalam. - Foto REUTERS
Banda Aceh: Sepasang suami isteri di wilayah ini dipertemukan semula dengan anak perempuan mereka yang hilang dihanyutkan tsunami tahun 2004, semalam.
Pertemuan itu memberi harapan untuk mereka mencari anak lelaki mereka yang juga hilang di dalam bencana itu.
Raudhatul Jannah berusia empat tahun manakala abangnya berusia tujuh tahun ketika kedua-duanya dihanyutkan oleh ombak deras yang melanda kediaman mereka di wilayah Aceh pada 26 Disember 2004.
Pernah putus asa
Bagaimanapun, ibu mereka, Jamaliah dan bapa mereka Septi Rangkuti terselamat daripada tsumami yang berpunca daripada gempa bumi mengorbankan hampir 10,000 nyawa di Acheh, bahagian barat Pulau Sumatera. Mereka dikatakan pernah berputus asa untuk mencari dan mempercayai anak mereka masih hidup.
Namun takdir mengatasi segalanya apabila pada Jun lalu, abang Jamaliah bertemu dengan seorang gadis di sebuah perkampungan di Aceh dalam perjalanan pulang dari sekolah kelihatan mirip wajah Raudhatul.
“Sejak itu beliau cuba bertanya kepada penduduk kampung dan mendapati gadis itu terperangkap di dalam ombak besar tsunami dan dihanyutkan ke pulau terpencil berdekatan wilayah itu,” kata sumber.
Raudhatul dikatakan dibawa pulang ke tanah besar oleh seorang nelayan dan dibesarkan oleh seorang ibu tua.
Pertemuan luar biasa
Sebaik mendengar khabar itu, kedua-dua ibu bapa Raudhatul yang tinggal di wilayah utara Aceh pergi ke bandar terbabit untuk menemui gadis yang didakwa mirip anak perempuan mereka.
Pertemuan itu akhirnya meyakinkan pasangan berkenaan bahawa itu adalah anak perempuan mereka yang kini sudah berusia 14 tahun.
Jamaliah yang menganggap pertemuan itu sebagai sesuatu yang luar biasa berkata, anak perempuan beliau sudah ditemui dan sukar menggambarkan perasaannya ketika detik pertemuan menyayat hati itu.
“Kami dapat merasakan keserasian dan beliau akan berpindah ke utara Sumatera untuk tinggal bersama kami dan kini kami berharap agar dapat menemui anak lelaki kami pula,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment