TAIYUAN, China 19 Ogos - Seorang wanita di China yang hilang 37 tahun dahulu selepas menaiki kereta api yang salah, akhirnya disatukan semula dengan ibunya, Ju Yeh dalam satu pertemuan menyayat hati di wilayah Shanxi, baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, wanita itu, Jiang Ai-wu yang kini berusia 43 tahun, hilang ketika berumur enam tahun semasa mahu pulang selepas diminta ibunya membelikan sesuatu, namun tidak lagi kembali ke rumahnya di wilayah Hunan, selatan China.
Dia yang ketika itu masih kanak-kanak cuba mencari jalan pulang dengan menaiki kereta api dari stesen tempatan, namun gagal.
"Saya tidak tahu ke mana arah tuju saya dan dari satu kereta api ke satu kereta api saya naiki membawa kepada laluan yang salah. Saya terus sesat. Semakin bersungguh-sungguh saya cuba untuk pulang ke rumah, lebih jauh saya sesat," kata Ai-wu ketika ditemui.
Ai-wu akhirnya tersesat jauh di Xuzhou yang terletak 724 kilometer dari kampung halamannya, di sebuah bandar di wilayah Jiangsu di timur China. Dia kemudian dijaga oleh pihak berwajib.
"Saya sentiasa mahu mencari ahli keluarga sendiri, tetapi saya terlalu muda dan tidak tahu untuk mencari mereka. Saya juga tidak tahu alamat rumah.
"Secara berperingkat saya terpaksa menumpukan perhatian kepada kehidupan saya, tetapi saya tidak pernah berputus asa dengan harapan bahawa satu hari nanti, ibu dan bapa saya akan datang dan mendapatkan saya," katanya.
Mereka akhirnya dipertemukan semula selepas anak perempuan Ai-wu, Mei bertindak menghubungi pengendali laman web orang hilang dan menghabiskan masa setahun menjejaki keluarga neneknya.
Ju Yeh, 70, berkata, dia tidak percaya apabila menerima panggilan telefon pada satu hari yang bertanyakan jika dia ada kehilangan anak.
"Kemudian, saya bercakap dengan Ai-wu. Ketika itu saya dapat rasakan yang dia tidak pernah jauh daripada saya," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140820/lu_10/Bertemu-selepas-37-tahun-berpisah#ixzz3Asf7Avel
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment