Pages

Saturday, June 14, 2014

Ritual 'sumpah racun' cari pesalah


Selain ritual sumpah racun, upacara sumpah pocong juga dilakukan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu hitam. - AGENSI
MUKOMUKO, Bengkulu - Ratusan penduduk yang tinggal di tepi pantai di Kampung Koto Jaya di daerah ini menjalani ritual 'sumpah racun' yang diadakan bagi mencari suspek yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian sembilan orang penduduk kampung, baru-baru ini.
Merdeka.com melaporkan, acara itu terpaksa diadakan selepas satu persetujuan dicapai bagi mencari pihak yang bertanggungjawab menghantar racun tersebut sehingga mengakibatkan mangsa mengalami muntah darah.
"Sebanyak sembilan orang penduduk di sini mengalami muntah darah dipercayai terkena racun. Namun racun itu dipercayai dihantar dalam bentuk makanan atau ikan oleh mereka yang mempunyai ilmu hitam.
"Jadi, untuk membuktikan pihak bertanggungjawab, upacara ini terpaksa diadakan," kata penduduk Pantai Indah di Mukomuko, Buyung, baru-baru ini.
Menerusi upacara sumpah racun itu, setiap penduduk Pantai Indah di Mukomuko wajib menggoyangkan sebatang buluh setinggi empat meter yang ditanam di dalam tanah.
Sekiranya daun yang terdapat pada buluh itu jatuh, individu berkenaan akan dianggap sebagai suspek yang menghantar racun tersebut.
Menurut Buyung, upacara itu merupakan amalan lama masyarakat penduduk setempat untuk mencari pihak yang melakukan kejahatan kerana agak sukar untuk mengesan individu bertanggungjawab yang mewarisi ilmu tersebut daripada ibu bapa mereka.
Sementara itu, Ketua Kampung Koto Jaya, Amin Zikri berkata, upacara itu diadakan bagi menjawab kebimbangan penduduk di wilayah itu terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan racun tersebut.
"Sejak sebulan ini, penduduk amat bimbang dan melaporkan sebanyak sembilan orang maut selepas mengalami muntah darah dipercayai termakan racun dan upacara ini diadakan bagi mencari individu terbabit," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140614/lu_11/Ritual-sumpah-racun-cari-pesalah#ixzz34YmbeADE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: