Pages

Saturday, June 14, 2014

Datuk 110 tahun, lelaki tertua di Eropah


LONDON 12 Jun - Seorang datuk yang baharu menyambut ulang tahun ke-110, baru-baru ini mendakwa dia merupakan orang yang paling tua di Eropah.
Mail Online melaporkan Nazar Singh dari Sunderland telah melalui pelbagai peristiwa penting sepanjang hidupnya termasuk menyaksikan dua perang dunia, tragedi tenggelamnya kapal Titanic dan kemelesetan ekonomi dunia serta penciptaan televisyen berwarna.
Nazar dilahirkan di Punjab, India pada 1904, tetapi telah menetap di England selama 50 tahun.
Lelaki berusia 110 tahun itu mempunyai sembilan orang anak, 34 orang cucu dan 63 orang cicit.
"Saya rasa sangat gembira kerana dikurniakan umur yang panjang dan masih cergas dan kuat.
"Setiap hari saya berdoa kepada Tuhan untuk mengambil saya apabila tiba masanya," ujarnya.
Nazar juga beruntung kerana mempunyai keluarga di sekelilingnya yang sering memberi sokongan kepadanya.
"Rahsia untuk memiliki umur yang panjang adalah keluarga yang baik dan mengambil makanan yang sihat.
Difahamkan terdapat dua lelaki di dunia yang memiliki umur lebih tua daripada Nazar iaitu Sakari Momoi dan Yasutaro Koide, kedua-dua dari Jepun dan berusia 111 tahun.
Nazar yang dilahirkan daripada keluarga petani menyukai aktiviti luar dan bekerja sebagai tukang kebun sehingga berusia 107 tahun.
Sepanjang hidupnya, Nazar tidak pernah menjalani pembedahan dan masih mempunyai beberapa batang gigi asal serta tidak mempunyai masalah pendengaran.
Dia yang suka minum susu dan minyak badam kerap mengambil buah-buahan termasuk anggur, pisang, epal dan kiwi setiap malam.
Dia juga mengamalkan tidur yang mencukupi selama 10 jam sehari.
Selepas isterinya, Narajan Kaur, meninggal dunia 11 tahun lalu, dia tinggal bergilir-gilir di rumah anak-anaknya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140613/lu_09/Datuk-110-tahun-lelaki-tertua-di-Eropah#ixzz34YnQvGIo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: