WASHINGTON 22 Jun - Satu kajian mendapati, pengambilan minuman berkarbonat dan beralkohol berlebihan mungkin boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit gout.
Portal berita Mail Online melaporkan, kajian berhubung punca dan penyebaran penyakit gout menunjukkan seorang dalam 35 orang kini menghidapi penyakit tersebut.
Gout dikaitkan dengan peningkatan asid urik dalam darah yang boleh menyebabkan kesakitan sendi jika jumlahnya dalam darah terlalu tinggi kerana akan membentuk ketulan kristal di dalam atau sekitar sendi.
Punca seseorang menghidap gout masih belum jelas, namun genetik dilapor memainkan peranan tinggi.
Sebelum ini dilaporkan, penyakit gout berlaku akibat cara pemakanan seseorang.
Penyelidik dari Universiti Washington, Dr. Peter Simkin berkata, kes peningkatan penyakit itu sejajar dengan pertambahan pengambilan fruktosa dan obesiti.
Fruktosa secara semula jadi ditemukan dalam buah-buahan dengan jumlahnya yang kecil, namun kini banyak digunakan sebagai bahan pemanis untuk makanan segera dan makanan dalam tin.
"Nasihat kami ialah hadkan makan daging dan jauhi minuman beralkohol, selain kurangkan pengambilan fruktosa dan lebihkan minum kopi serta produk tenusu,'' katanya.
Selain itu, pengambilan aspirin dan ubat untuk merawat tekanan darah tinggi juga dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap gout.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140623/lu_07/Minuman-berkarbonat-beralkohol-punca-gout#ixzz35PT3crUF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment