London: Lelaki paling banyak tatu di London yang sudah menukar namanya kepada King of Inkland sanggup menghabiskan £6,000 (RM32,650) membuang beberapa lukisan itu untuk membolehkannya mendapatkan tatu baru.
Matthew Whelan, 34, yang berasal dari Birmingham dipenuhi pelbagai tatu di hampir keseluruhan badannya, termasuk pada satu mata, namun kini menganggap semua lukisan berkenaan sudah lapuk.
Berikutan itu, bekas penggusti terbabit mengumpulkan £6,000 untuk proses pembuangan tatu menggunakan laser yang menyakitkan semat-mata kerana menganggap dirinya ‘kanvas hidup’ dan ‘galeri seni manusia’ yang perlu sentiasa berubah.
Whelan yang menukar namanya secara rasmi kepada ‘King Body Art The Extreme Ink-ite’ setakat ini menghabiskan £30,000 (RM163,000) dengan tatu selepas yang pertama diukir pada badannya pada usia 16 tahun, iaitu gambar seekor anjing Bulldog.
Ular, kala jengking, bebola mata dan pontianak antara tema kegemarannya, malah sebelah matanya diwarnakan hitam.
Namun, hampir dua dekad kemudian, dia menganggap ‘koleksi’ itu perlu diberi pembaharuan.
“Saya anggap diri saya galeri lukisan. Selepas satu tempoh hasil seni dipamerkan menjadi lapuk dan perlu ditukarkan kerana orang ramai mahu melihat sesuatu yang baru.
“Begitulah perasaan saya terhadap semua tatu ini. Saya sendiri bosan melihatnya dan tiada lagi ruang kulit untuk meletakkan yang baru jadi baik saya padamkan saja menggunakan laser dan membuatnya semula,” katanya.
Setakat ini dia menghabiskan £6,000 untuk membuang tatu bernilai £500 (RM2,700) pada tangan, lengan dan tulang keringnya, namun masih ada tatu bernilai £30,000 lagi pada keseluruhan badannya.
Sejak dua bulan kebelakangan ini dia melalui enam sesi untuk membuang tatu lama - proses yang lama dan amat menyakitkan.
“Akhirnya kini saya dapat melihat kulit sendiri semula di tempat berkenaan, walaupun masih melepuh, namun itu petanda baik kerana bererti ia sedang sembuh perlahan-lahan,” katanya.
Dia sudah pun mula merancang tatu seterusnya yang mahu dibuat.
“Ada rakan yang menganggap saya gila dan mungkin juga tabiat saya ini terlalu pelik bagi orang lain, namun saya tidak peduli.
“Saya memang tidak sabar kulit sembuh supaya boleh membuat tatu baru. Kalau diikutkan hati hari ini juga saya mahu melakukannya, namun akur terpaksa mementingkan kesihatan sendiri,” katanya.
Dia turut menyifatkan tabiat ‘pengubahsuaian badan’ sebagai satu budaya dan cara hidup, malah ada yang seolah-olah memuja perbuatan berkenaan.
Dia mengakui mula meminati tatu sejak berusia sembilan tahun selepas melihat lukisan seperti itu pada badan ayah dan bapa saudaranya.
“Apabila mati kelak saya mahu meninggalkan mayat saya kepada sebuah muzium atau anggota keluarga untuk tatapan umum.
“Malah ada seorang lelaki di Kanada yang mahukan tengkorak saya untuk digunakan sebagai bekas meletakkan cat,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/30
No comments:
Post a Comment