Pages

Saturday, March 15, 2014

Bandar 'selfie' terbanyak di seluruh dunia


Obses dengan imej selfie, ada segelintir individu sanggup bergadai nyawa demi mendapatkan gambar yang diingini.
JIKA di Los Angeles, Amerika Syarikat, pelawak, pengacara televisyen dan pelakon Ellen DeGeneres dikatakan telah mengambil imej gambar sendiri atau selfie paling banyak dalam acara Oscar awal bulan ini, namun bandar yang beliau duduki itu tidak pula disenaraikan dalam senarai bandar raya paling banyak melakukan selfie yang dilakukan oleh majalah Time.
Sebaliknya, majalah itu menobatkan Makati, Filipina sebagai Selfie Capital of the World dengan jumlah 258 imej selfie bagi setiap 100,000 orang diikuti Manhattan, New York dengan jumlah 202 imej selfie bagi setiap 100,000 orang.
Di tempat ketiga pula, Miami, 155 imej selfie bagi setiap 100,000 manakala berkongsi tempat keempat, bandar Anaheim dan Santa Ana, California dengan 147 imej selfie bagi setiap 100,000 orang.
Malaysia boleh berbangga apabila Petaling Jaya disenaraikan sebagai bandar raya kelima paling banyak melakukan selfie, Georgetown, Pulau Pinang (ke-10) dan Kuala Lumpur (ke-21).
Biarpun Los Angeles, tidak disenaraikan antara 100 bandar teratas dalam senarai tersebut namun apa yang menjadikan bandar raya yang telah disenaraikan itu lebih popular daripada yang lain untuk penduduk setempat mahupun pelancong mengambil imej selfie berkemungkinan kerana lokasi bandar tersebut merupakan destinasi pelancongan terkenal contohnya, Anaheim yang terkenal dengan Disneyland, Manhattan pula mempunyai Times Square dan Miami sangat terkenal dengan kawasan pantai.
Bagi menghasilkan kajian itu, Time menggunakan data 400,000 imej bergambar yang diambil 10 hari terakhir pada bulan Januari dan awal Februari daripada laman sosial Instagram yang telah dimuat turun secara selfie termasuk koordinat geografi.
Jelas Time, kaedah kajian yang dilakukan mereka mendapati bagi setiap bandar di dunia, sekurang-kurangnya 250,000 penduduk telah memuat turun imej selfie yang diambil dalam jarak lima kilometer dan dibahagikan dengan jumlah penduduk bandar tersebut.
Bagaimanapun kajian yang dihasilkan itu masih tidak sempurna kerana tidak semua individu yang memuat turun imej selfie itu ke laman tersebut menandakan kordinasi lokasi gambar yang diambil. - Susunan: SYAHRIL


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140315/lu_01/Bandar-selfie-terbanyak-di-seluruh-dunia#ixzz2w4WpB4Te
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: