Pages

Tuesday, February 25, 2014

Henti import daging Denmark


Seorang pemuda sedang memproses sebahagian daging lembu halal di pusat penyembelihan haiwan. - AGENSI
KAHERAH 24 Feb. - Masyarakat Islam di seluruh dunia menentang tindakan kerajaan Denmark yang mengharamkan penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam dan menyeru negara-negara menghentikan pengimportan daging dari negara itu kerana enggan menghormati ajaran tersebut.
Seorang ulama Mesir, Fouad Tawfik berkata, cara penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam secara saintifik terbukti lebih baik untuk haiwan dan manusia berbanding membunuhnya dengan menggunakan renjatan elektrik.
"Semua negara Islam mesti berhenti daripada mengimport daging dari Denmark selama mana negara itu mengharamkan penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam," katanya kepada laman web Arab News.
Seorang pendakwah yang dihormati, Dr. Zakir Naik, pula menekankan bahawa penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam adalah lebih bersih kerana membolehkan darah haiwan sembelihan itu disalur keluar sepenuhnya.
"Darah merupakan satu medium pembiakan kuman, bakteria dan toksik yang mampu menyebabkan pelbagai penyakit," jelasnya.
Tambahnya lagi, daging sembelihan mengikut ajaran Islam akan kekal segar dan tahan lebih lama.
Sementara itu, Denmark cuba untuk mengurangkan kemarahan masyarakat Islam ekoran keputusannya tersebut dengan Menteri Makanan, Pertanian dan Perikanan, Dan Jorgensen semalam dalam satu kenyataan berkata bahawa, penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam masih dibenarkan di negara itu.
Bagaimanapun, Kedutaan Denmark di Riyadh mempertahankan kenyataan kerajaannya.
"Tiada pengharaman penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam di Denmark, dan penyembelihan haiwan mengikut prinsip Islam masih dibenarkan," katanya.
Sebelum ini, akhbar Daily Mail melaporkan bahawa Denmark telah menguatkuasakan undang-undang mengharamkan penyembelihan haiwan mengikut ajaran Islam pada awal minggu ini, selepas menerima tekanan daripada aktivis hak asasi haiwan.
Keputusan kerajaan Denmark itu juga disifatkan sebagai cubaan untuk campur tangan dalam hak kebebasan beragama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140225/lu_05/Henti-import-daging-Denmark#ixzz2uHbHDxQN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: