Jakarta: Pakar gunung berapi semalam bimbang mengenai kemungkinan debu Gunung Kelud di Jawa Tengah akan tiba di ibu negara Indonesia ini selepas angin barat membawa debu itu melitupi bandar raya Bandung di Jawa Barat.
“Jika ia boleh sampai ke Bandung, tidak mustahil debu itu boleh tiba di Jakarta.
“Ia bergantung kepada angin. Ketika ini, angin bertiup ke arah barat, kerana itu ia tiba di Bandung,” kata Gede Suantika, pegawai di Pusat Volkanologi dan Pengurusan Bencana.
Penduduk Bandung, bandar yang terletak kira-kira 619 kilometer dari Gunung Kelud berkata, debu mula tiba di bandar raya itu awal pagi.
SEBUAH kawasan perumahan di Yogyakarta dilitupi debu. |
KEADAAN lalu lintas di Solo, semalam. |
SEORANG anggota polis mengagihkan topeng di jalan raya di Yogyakarta yang dilitupi debu Gunung Berapi Kelud. |
Di Sumedang, bandar berhampiran Bandung, sebahagian penduduk mula memakai topeng selepas debu melitupi bandar itu.
Petugas di Universiti Padjajaran, Mohamad Noor Rizal yang mengalami sakit mata akibat debu itu berkata, ruang angkasa di bandar berkenaan seolah-olah berjerebu sementara suhu panas.
Gunung Kelud meletus lewat kelmarin, memaksa kira-kira 200,000 penduduk di 36 kampung sekitar 10 kilometer di keliling gunung itu berpindah.
Penduduk tempatan mula meninggalkan kawasan itu Khamis lalu selepas gunung berkenaan bergegar, menyebabkan gempa bumi dirasakan sehingga Solo di Jawa Tengah.
Gunung Kelud mula menunjukkan tanda-tanda akan meletus selepas semakin aktif sejak 2 Februari menyebabkan kerajaan mengeluarkan amaran.
Apabila ia meletus kelmarin, letupannya dapat didengar hingga ke Yogyakarta, menghamburkan kira-kira 120 meter kubik sisa setinggi 17 kilometer, menyelubungi kawasan sekitar dengan debu kelabu tebal.
Jika angin barat bertiup berterusan, lapisan debu tipis akan tiba di Jakarta, kira-kira 148 kilometer dari Bandung.
Kesannya, menurut Gede, adalah kecil.
Seorang pegawai Meteorolgi, Iklim dan Geofizik di Bandung berkata, debu itu dijangka melitupi sebahagian besar pulau Jawa.
“Ia tidak akan mengambil masa lama untuk debu Gunung Kelud tiba di Jakarta,” kata Yadi Hendarmin ketika ditemui media, semalam.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15
No comments:
Post a Comment