Pages

Monday, April 22, 2013

Korban gempa China meningkat

Korban gempa China meningkatSeorang kanak-kanak lelaki menangis dalam dakapan ibunya selepas melihat kemusnahan rumah mereka di perkampungan Longmen di Lushan. - Foto REUTERS

Lushan: Angka korban dan hilang akibat gempa bumi di Sichuan meningkat semalam kepada 203 dengan lebih 11,500 lagi cedera, 960 daripadanya tenat.

Pada masa sama, anggota penyelamat dilaporkan bertungkus-lumus ke tempat kejadian bagi mencari mangsa termasuk yang hilang.
Doktor dan jururawat terpaksa memberi rawatan di tempat terbuka di sini atau di bawah khemah dekat hospital yang penuh dengan kaca pecah dan runtuhan konkrit. Bekalan air dan elektrik juga terputus selepas gempa magnitud 6.6 melanda Lushan di bandar Ya'an, wilayah Sichuan, barat daya China.



Usaha bantuan sukar kerana jalan raya agak sempit dan tanah runtuh berlaku selain tindakan menyekat akses bagi mengelak kesesakan.

Bekalan sukar dihantar kerana kesesakan yang berlaku untuk ke sana. Kebanyakan bekalan masih dalam perjalanan.

Keperluan utama ialah tempat perlindungan dan bahan keperluan asas, kata jurucakap Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit.
Anggota penyelamat di Lushan menarik keluar 91 mangsa yang terselamat daripada bawah runtuhan, lapor Xinhua.

Di perkampungan paling dekat dengan pusat gegaran, hampir semua kediaman musnah.

Runtuhan berulang

Persatuan Meteorologi China memberi amaran kemungkinan tanah runtuh akan berulang di Lushan selepas 1,097 gegaran susulan berlaku.

Yaan mempunyai 1.5 juta penduduk dan salah satu lokasi kelahiran budaya teh China selain antara pusat utama melindungi beruang panda.

Sichuan juga adalah antara empat wilayah pengeluar gas di China dengan menghasilkan 14 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara itu.

Sinopec Group, antara pemilik loji penapis minyak terbesar Asia, berkata telaga gas besarnya di Puguang tidak terjejas. - REUTERS 

No comments: