Pages

Monday, April 1, 2013

Mufti gesa wanita Libya disekat kahwin lelaki asing



Tripoli: Mufti Besar Libya menggesa pihak berkuasa mengharamkan wanita negara itu berkahwin dengan warga asing walaupun mereka beragama Islam dan keturunan Arab.

Sheikh Sadeq Al-Gharian mengemukakan cadangan itu atas alasan keselamatan.


Menurutnya, beliau menerima banyak aduan bahawa lelaki Syiah dan Druze dari Syria dan Iran mengambil kesempatan terhadap kelonggaran sistem keselamatan di Libya.

Negara Islam Sunni seperti Libya amat sensitif dengan kehadiran golongan Syiah dalam masyarakat mereka menerusi pelbagai cara, termasuk perkahwinan dan pelancongan.


Awal bulan ini, pendakwah Mesir Safwat Hijazi menyuarakan bantahan terhadap persetujuan kerajaan negara itu untuk meningkatkan industri pelancongan dengan Iran.


Beliau meluahkan kebimbangan bahawa rejim Ayatollah di Teheran mungkin menghantar pendakwah Syiah yang menyamar sebagai pelancong.

Safwat memberitahu Al-Arabiya dalam satu wawancara bahawa sejak revolusi Iran, ulama Syiah negara itu berusaha untuk menyebarkan fahaman aliran itu ke luar negara terutama di kalangan masyarakat Sunni.


Di Libya, gesaan mufti besar itu yang jika dilaksanakan kerajaan akan menjadi satu lagi halangan kepada hak wanita selepas era Gaddafi.

Februari lalu, Dewan Perlembagaan Mahkamah Agung menyekat poligami selepas ia memansuhkan pindaan lama yang mensyaratkan lelaki untuk mendapatkan persetujuan isteri pertama untuk berkahwin lagi. - Al-Arabiya

No comments: