TOKYO - Beberapa saintis menyatakan mereka berjaya merakamkan gambar seekor sotong gergasi sepanjang kira-kira lapan meter di dasar Lautan Pasifik.
Pendedahan itu dibuat semalam selepas pihak Muzium Sains Kebangsaan Jepun berjaya membuat penggambaran haiwan laut dalam itu di habitat semula jadi sotong berkenaan buat kali pertama.
Ia merupakan hasil kerjasama dengan stesen televisyen NHK dan saluran Discovery Channel.
Para saintis itu menemui sotong tersebut pada kedalaman 630 meter dengan menggunakan sebuah kapal selam pada Julai tahun lalu sekitar 15 kilometer ke timur Pulau Chichi di utara Lautan Pasifik.
Penyelidik muzium tersebut, Tsunemi Kubodera berkata, pasukan penyelidikannya mengekori sotong besar itu pada kedalaman 900 meter ketika haiwan berkenaan menyelam jauh ke dasar lautan.
Rakaman stesen televisyen NHK menunjukkan haiwan berwarna perak dan bermata hitam besar itu berenang melawan arus laut dengan belalainya melilit umpan sotong.
"Haiwan itu bersinar dan amat cantik," kata Kubodera.
Sebelum ini, Kubodera hanya merakamkan gambar seekor sotong raksasa yang ditangkap dan dinaikkan ke dalam botnya pada tahun 2006. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2HKpmlhr8
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment