AFP: Seorang anggota tentera yang kehilangan tangannya selepas diletupkan bom tangan di Afghanistan kini menjadi orang pertama di United Kingdom (UK) menerima tangan palsu yang dikawal otaknya.
Tangan futuristik dipasang ketika pembedahan yang turut memerlukan pengolahan sistem sarafnya dan digelar penanda masa depan perubatan prostetik.
Korporal Andrew Garthwaite, 26, dari South Shields, hilang tangannya selepas sebuah grenad dilepaskan roket meletup ketika operasi di Helmand, Afghanistan pada 2010.
“Ketika pertama kali dimaklumkan mengenai pembedahan itu, saya sangka ia sekadar kisah dongeng, mungkin ada orang mahu mengenakan saya.
SELAMA 18 bulan Garthwaite dapat rasa seperti ada tangan yang ‘tumbuh’ di dadanya. |
GARTHWAITE dipercayai orang pertama di Britain yang menerima tangan bionic yang boleh dikawal otaknya. |
HUJUNG saraf bahu Garthwaite yang sepatutnya menghala ke tangannya dialihkan ke otot dadanya. |
“Memang sukar dipercayai. Sudah tentu ada risikonya namun saya tidak risau kerana menganggap tiada apa-apa kerugian jadi sanggup mengambil risikonya.
“Ia seperti kisah sains fiksyen yang menjadi realiti,” katanya.
Garthwaite merupakan orang pertama di negara ini menjalani pembedahan pemindahan saraf dikenali sebagai Pensarafan Semula Otot yang memerlukan sistem saraf diubah suai supaya saraf yang pada asalnya digunakan untuk mengawal tangan dan lengannya dialihkan ke otot dada.
Hanya dua pusat di dunia mampu menjalankan pembedahan seperti itu, iaitu di Chicago dan Vienna.
Sejak 18 bulan kebelakangan ini Garthwaite belajar mengawal tangan palsunya menggunakan otak dengan memfokuskan pemikirannya terhadap saraf di dadanya itu.
Beliau membuktikan mampu melakukan kerja seharian mudah seperti menanam pokok di dalam pasu dan membuat sandwich jem menggunakan tangan palsu itu.
Berucap di Pusat Pemulihan Perubatan Tentera di Headley Court, Garthwaite berkata: “Perjalanan ini sangat panjang, terlalu banyak pahit dan manisnya. Mujur segalanya hampir selesai dan saya memang tidak sabar menyambut Krismas bersama isteri dan keluarga.”
Juruteknik prostetik terkemuka di Headley Court, Steve Lambert, yang membantu Garthwaite ketika tempoh pemulihannya berkata: “Saya bertugas dalam bidang trauma kompleks selama enam tahun, namun kes ini paling menyentuh hati saya.
“Saya melihat teknologi bidang ini berkembang begitu pesat dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini. Saya percaya inilah masa depan dunia perubatan.”
Pakar perunding pemulihan Hedley Court, Tim Jones yang merawat Garthwaite memuji kekuatan semangat pesakitnya itu.
“Beliau kuat semangat dalam usaha menguasai tangan palsunya.
“Bukan perkara mudah kerana anda perlu mengolah segala ‘wayar’ dalam otak anda. Sepatutnya ia juga dimasukkan dalam program Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).”
Pembedahan Garthwaite yang dilakukan di Universiti Perubatan Vienna pada 2011 manakala tangan palsunya berharga £60,000 (RM315,690) yang dibayar Kementerian Pertahanan.
No comments:
Post a Comment