Pages

Monday, December 16, 2013

Kanak-kanak lelaki secerdik Einstein


Sherwyn Sarabi, 4, mempunyai IQ setaraf dengan beberapa cendekiawan dunia termasuk Albert Einstein, Bill Gates dan Stephen Hawking. - AGENSI
SOUTH YORKSHIRE, England 14 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki di sini mempunyai kecerdasan luar biasa apabila dia mencatat markah setinggi 160 dalam ujian tahap kecerdasan otak (IQ), baru-baru ini.
Menurut pakar psikologi pendidikan, Dr Peter Congdon, Sherwyn Sarabi, 4, berkemungkinan boleh mempunyai IQ setaraf dengan beberapa cendekiawan dunia termasuk Albert Einstein, Bill Gates dan Stephen Hawking.
"Sarabi mencatatkan markah tertinggi dalam ujian IQ yang dijalankan baru-baru ini, sekali gus menunjukkan dia merupakan seorang kanak-kanak yang luar biasa.
"Sarabi juga mampu berkomunikasi seperti orang dewasa dan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi," katanya.
Sarabi menyertai Mensa iaitu sebuah organisasi antarabangsa khusus untuk golongan IQ tinggi pada usia tiga tahun.
Seawal usia 10 bulan, kanak-kanak istimewa itu sudah mula bercakap dan berkomunikasi menggunakan ayat penuh pada usia 20 bulan, sekali gus mengejutkan ibu bapanya, guru dan doktor yang merawat.
Sarabi mempunyai tahap mentaliti kanak-kanak berusia lapan tahun, iaitu dua kali ganda berbanding usia sebenarnya, selain pernah membaca lebih 940 buah buku terutamanya ensiklopedia.
Kini, Sarabi mula bersekolah di Sekolah Swasta Rastrick di Huddersfield.
Ibunya, Amanda Sarabi, 37, yang merupakan bekas guru berkata, dia gembira dengan perkembangan anak lelakinya itu.
"Sarabi sering bertanyakan pelbagai soalan kepada saya dan menjadi tugas saya untuk cuba menjawab sebaik mungkin agar dia memahami apa yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya . - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131215/lu_07/Kanak-kanak-lelaki-secerdik-Einstein#ixzz2ndDFiRLR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: