PEMANDANGAN dari udara sekitar wilayah Aceh selepas bencana tsunami. |
PEMANDANGAN kini. |
Esok, genap sembilan tahun tragedi gempa bumi tsunami memusnahkan sebahagian Aceh, namun belum pun sampai sedekad kejadian gelombang ganas itu, wilayah autonomi Indonesia ini khususnya ibu negeri di Banda Aceh yang teruk terjejas kini sudah pesat membangun.
Ketua Bidang Pusaka dan Khazanah Adat Majlis Adat Aceh (MAA), Harun Keuchik Leumiek berkata, keadaan sekarang sangat berbeza berbanding selepas tsunami 26 Disember 2004 apabila ketika itu rakyat tempatan melihat Banda Aceh seperti tiada harapan lagi menjadi sebuah ibu kota.
“Memang semua melihat ibu kota ini payah untuk bangun sebab kemusnahan dan kematian dapat disaksikan di mana-mana saja sejurus tsunami yang turut melenyapkan kawasan lain sepanjang 800 kilometer pantai Aceh bertentangan Lautan Hindi.
“Tetapi kini, bukan saja Banda Aceh menjadi kota yang sibuk, malah tempias kemajuan menyebar ke seluruh Aceh.
Binaan baru termasuk kompleks kerajaan, hotel, pusat beli-belah, muzium dan kemudahan asas seperti hospital, sekolah, jambatan jalan raya banyak dibina manakala sedia ada dipulihkan.
“Aceh mendapat perhatian dunia secara luar biasa prihatin dengan penderitaan kami.
Jika bersendirian, kami sukar bangkit walaupun 20 tahun lagi.
Untuk pembersihan saja mengambil masa lebih lima bulan.
Dianggarkan sebanyak AS$7 bilion (RM23.3 bilion) derma dan sumbangan asing bagi memulihkan Aceh,” katanya yang juga penasihat tidak langsung Gabenor Zaini Abdullah.
Harun berkata, pembangunan Aceh adalah contoh terbaik kerjasama erat negara dunia untuk membangunkan sebuah kawasan yang lumpuh akibat bencana alam.
Selain itu, katanya, belanjawan tahunan di peringkat nasional untuk Aceh juga meningkat dan untuk tahun 2013 saja Indonesia memperuntukkan RM3.6 bilion kepada wilayah ini.
Sepanjang tempoh pascatsunami lebih 130,000 rumah dibina, 250 Kilometer jalan baru, 18 hospital baru dan lain-lain bangunan kerajaan serta rumah anak yatim dan masjid dengan bantuan negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Singapura, Turki, Arab Saudi, Oman termasuk Malaysia.
“Lebih 80,000 tanah pertanian kembali dipulihkan.
Antaranya sawah padi luas terbentang yang jelas boleh dilihat dari udara selain 15,000 hektar untuk tempat penternakan ikan.
“Kapasiti persediaan menghadapi tsunami atau bencana lain juga ditingkatkan seperti alat amaran tsunami yang canggih dibina dengan bantuan Jerman yang mampu mengeluarkan amaran kurang lima minit selepas gempa.
“Kerajaan turut membina pelabuhan di Banda Aceh untuk kemudahan nelayan serta dagangan dan perkhidmatan feri ke Pulau Sabang,” katanya.
Selain itu, Harun berkata, pembinaan struktur penampan ombak seperti di Ulee Lheue yang mewujudkan tasik kecil menjadi tumpuan keluarga beriadah di tepi jalan, sekali gus tempat peniaga menjalankan kegiatan ekonomi.
Hikmah di sebalik tragedi sembilan tahun lalu, Aceh termasuk ibu negeri Banda Aceh pesat membangun di celah kesan tinggalan tsunami kapal besar di darat asalnya dilambung dari laut yang kini dijadikan muzium.
Kata Pengurus Besar PT Atrabu Tour & Travel, Arifin Ibrahim yang membantu wartawan serta jurugambar sepanjang membuat liputan di Aceh bahawa kehidupan kembali seperti biasa, malah lebih hebat lagi memang terbukti benar.
“Kehidupan ekonomi di Aceh semakin hebat.
Orang ramai sibuk dengan menjalar membawa kenderaan baru untuk berurusan.
“Aceh sudah terkenal di mata dunia.
Kapal-kapal dilambung ombak tsunami sehingga ke daratan yang kini dijadikan muzium dikunjungi antara 500 ke 1,000 pelancong sehari,” katanya.
Menurut data Badan Pusat Statistik Provinsi Aceh, keseluruhan penduduknya kini meningkat lebih dua kali ganda iaitu berjumlah lima juta dengan lebih 98 peratus menganut agama Islam.
Kedamaian dan kemakmuran di Aceh selepas lebih tiga dekad konflik bersenjata tamat sejurus tsunami bukan saja menarik kepulangan semula penduduk tempatan, malah turut menarik kedatangan rakyat Indonesia dari wilayah lain untuk mencari rezeki.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/25
No comments:
Post a Comment