Pages

Friday, November 15, 2013

The Pink Star catat jualan RM266 juta

Geneva: Berlian besar yang dikenali sebagai ‘The Pink Star’ dijual melebihi AS$83 juta (RM266 juta) dalam satu lelongan malam semalam, jauh menjangkaui harga yang diramal.
Sotheby’s berkata, penjualan berlian merah jambu yang sempurna 59.60 karat itu pada harga tertinggi pernah dibayar dalam acara lelongan batu permata. 
Sebelum penjualan kepada pembida berjaya yang mewakili pembeli rahsia itu, berlian terbabit dianggarkan dapat menarik lebih AS$60 juta (RM192 juta). Bidaan dibuka pada harga melebihi AS$52 juta (RM166 juta) dan ditutup dengan alunan muzik tema filem ‘Pink Panther’.

Harga jualan sebenar ‘The Pink Star’ ialah 76.325 juta Swiss francs atau AS$83.4 juta (RM267.4 juta). Ia diperkenalkan sebelum bidaan sebagai satu daripada permata paling hebat pernah muncul dalam lelongan.
Foto
BERLIAN ‘The Pink Star’ dijual pada harga tertinggi.

Berlian berkenaan digred sebagai Jenis Ila, berlian merah jambu jarang ditemui dan mengambil dua tahun untuk dipotong berlian kasar 132.5 karat oleh Steinmetz Diamonds.

Ia pertama kali dipamerkan kepada umum pada Mei lalu sebagai ‘Steinmetz Pink’ sebelum dijual secara peribadi untuk kali pertama pada 2007 apabila ia dinamakan semula sebagai ‘The Pink Star’.

Jualan di Geneva itu dibuat sehari selepas berlian jingga terbesar pernah dijual mencatat harga AS$35.5 juta (RM113.79 juta) pada lelongan Christie’s. - AP

No comments: