Buenos Aires: Aktor dan aktivis alam sekitar Richard Torres melakukan perbuatan pelik apabila dia berkahwin dengan sebatang pokok di Buenos Aires, Argentina Ahad lalu.
Torres (yang kelihatan seperti Johnny Depp dalam rakaman video pada acara itu) menggelar upacara terbabit sebagai “perkahwinan hijau” apabila berkahwin dengan pokok bernama Aliehuen Nehuen, sebagaimana disiarkan agensi akhbar Peru Netjoven.
Dalam acara itu, Torres memakai sut putih, manakala Aliehuen Nehuen mengenakan tali leher. Selepas sesi membaca ikrar dan meletakkan simbol perkahwinan di depan ‘isterinya’, Torres mencium pokok itu sebagai pengesahan acara perkahwinan, menurut FOX59 WXIN-TV.
Perkahwinan itu disahkan artis Argentina José María Muscari.
TORRES ketika acara perkahwinannya. |
TORRES memeluk dan mencium ‘pengantinnya’. |
Acara berkenaan ialah sebahagian percubaan besar Torres untuk memupuk kesedaran memelihara alam sekitar di seluruh negara Amerika Latin itu.
Di negara asalnya, Peru, Torres sudah pun mendapat perhatian kerana ketaksubannya terhadap flora dan fauna. Dia ditahan tahun lalu kerana melancarkan bantahan secara berbogel sebagai membantah pemindahan pokok di sebuah taman di Peru.
Sementara acara perkahwinan Torres menarik perhatian antarabangsa, ia bukan pertama kali aktivis berkenaan berkahwin dengan pokok.
Pada Jun lalu, Torres mengahwini pokok pertamanya. Ketika itu, dia mengisytiharkan, “Perkahwinan saya adalah selama-lamanya dan saya akan berasmara dengan semua pokok. Dengan memeluk pokok, saya dapat merasakan tenaga tumbuhan itu.”
Bagaimanapun, Torres bukan aktivis pertama yang berkahwin dengan pokok. Pada 2009, pasangan seni konsep, The Art Guys berkahwin dengan anak pokok Oak dalam satu acara di muzium Texas. - Agensi
No comments:
Post a Comment