Pages

Tuesday, November 19, 2013

Dua gunung berapi di Indonesia meletus


SEORANG lelaki memerhatikan Gunung Sinabung memuntahkan debu di daerah Karo, utara Pulau Sumatera semalam.- AFP


KARO - Dua gunung berapi di Indonesia meletus semalam dengan menyebabkan banyak penerbangan mengubah haluan manakala beribu-ribu penduduk yang berpindah terhalang daripada pulang ke kediaman mereka.
Pusat Pengurusan Bencana Geologi dan Gunung Berapi menyatakan, Gunung Sinabung yang setinggi 2,600 meter memuntahkan abu setinggi 8,000 meter ke udara.
Menurutnya, gunung berapi berkenaan yang terletak di barat Pulau Sumatera telah meletus beberapa kali sejak pertengahan September lalu.
"Kementerian pengangkutan mengubah penerbangan dari beberapa haluan ekoran letusan terbaharu Gunung Sinabung," kata jurucakap kementerian itu, Bambang Ervan.
Menurutnya, perkembangan itu turut menyebabkan lebih 6,000 orang yang dipindahkan dari kawasan sekitar Sinabung baru-baru ini tidak dapat kembali ke rumah.
Di Pulau Jawa, gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi menghambur abu dan asap setinggi 2,000 meter pagi semalam.
"Letusan Merapi dicetuskan oleh beberapa kejadian gempa bumi kecil di sekitarnya," kata Ketua Agensi Pengurusan Bencana Negara, Purwo Nugroho.
Menurutnya, letusan Gunung Merapi itu menyebabkan 600 keluarga di kawasan sekitarnya bergegas menyelamatkan diri ke beberapa buah pusat pemindahan sementara.
"Namun, mereka kemudian pulang ke rumah masing-masing selepas situasi reda," ujarnya.
Menurut Purwo, lebih 350 nyawa melayang manakala beberapa buah kampung musnah sama sekali selepas Gunung Merapi meletus beberapa kali sejak akhir tahun 2010.
Indonesia yang mempunyai 129 gunung berapi aktif terletak dalam zon bencana dikenali sebagai Lingkaran Api di antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Pada Ogos lalu, lima orang terbunuh dan ratusan penduduk berpindah apabila sebuah gunung berapi meletus di pulau kecil di wilayah Nusa Tenggara Timur. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1119&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2l2C0IgJC 
Hakcipta terpelihara 

No comments: