LOS ANGELES 29 Ogos - Seekor kucing baka kacukan Himalaya-Parsi bakal diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kucing berbulu paling panjang di dunia.
Kucing bernama Colonel Meow yang dibela oleh Anne Marie Avey dan Eric Rosario di Los Angeles itu mempunyai bulu sepanjang 23 sentimeter, dijangka mencatat rekod terbabit yang akan diisytiharkan pada bulan depan.
Avey berkata, dia dan suaminya memang menyedari kelebihan haiwan peliharaan mereka itu dan berpotensi memegang rekod dunia.
"Bulu Colonel Meow sangat panjang dan banyak sehingga sering berguguran di seluruh rumah, termasuk pada badan kami.
"Saya terpaksa membersihkan rumah pada setiap hari disebabkan bulu kucing kami," katanya.
Avey dan Rosario perlu membersihkan dan memandikan Colonel Meow tiga kali seminggu dan tugas tersebut dilakukan secara bersama oleh pasangan itu.
Malah mereka tidak pernah menggunakan sebarang produk mandian atau syampu ketika memandikan kucing berkenaan, sebaliknya hanya menggunakan air dan berus.
Colonel Meow menjadi popular selepas satu laman web yang mendedahkan tentang haiwan itu dibuka termasuk dalam laman sosial Facebook dan laman perkongsian video, YouTube.
Video kucing itu mendapat sambutan hangat dan telah dilihat lebih dua juta kali dalam YouTube.
Ketua Editor Guinness World Records, Craig Glenday berkata, Colonel Meow merupakan kucing yang menakjubkan dan memberi inspirasi kepada semua orang di seluruh dunia mula mengukur panjang bulu kucing mereka.
"Kami gembira dapat menyenaraikan Colonel Meow dalam Guinness World Records sebagai kucing berbulu paling panjang," jelasnya.
Edisi terbaharu Guinness World Records 2014 akan disiarkan pada 12 September ini di lebih 100 buah negara. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130830/lu_10/Kucing-Himalaya-Parsi-miliki-bulu-paling-panjang-di-dunia#ixzz2dT7qm8HL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment