Pages

Saturday, August 31, 2013

Lelaki luang masa 12 tahun cari isteri kaya


Robert Darling menghabiskan masa selama 12 tahun untuk mencari pasangan hidup menggunakan papan tanda. - AGENSI

NEW JERSEY 30 Ogos - Kebiasaannya lelaki yang sekian lama membujang akan mencari cinta melalui laman web cari jodoh atau meminta bantuan rakan-rakan.
Namun, lain pula kisahnya dengan seorang lelaki dari New Jersey, Robert Darling yang menghabiskan masa selama 12 tahun untuk mencari pasangan hidup hanya dengan menggunakan papan tanda.
Dalam papan tanda tersebut, penganggur berusia 58 tahun itu menulis bahawa dia mahu berkahwin dengan wanita kaya dan menyertakan nombor telefon serta emel.
Setiap hari, Darling akan menghabiskan masa selama dua jam berjalan ke Manhattan sebanyak dua kali seminggu untuk mencari pasangan hidupnya.
Menurut Darling, dia berbuat demikian selepas banyak kali menemui kegagalan dalam percintaan dan membuat keputusan untuk menggunakan cara yang ekstrem bagi mencari jodohnya.
"Dengan cara ini, saya mendapat banyak reaksi positif daripada ramai orang yang fikir cara ini kelakar tetapi saya sebenarnya serius.
"Saya mahu pergi ke muzium dan konsert, namun tidak mempunyai wang.
"Jadi saya perlu berkahwin dengan wanita kaya untuk menjaga saya," ujarnya.
Darling sering membawa papan tandanya itu ke kawasan mewah seperti Wall Street, Columbus Circle dan Times Square dengan harapan dapat menemui wanita yang kaya.
"Peluang di Wall Street lebih cerah dan mungkin saya akan bertemu dengan wanita yang berpangkat Ketua Pegawai Eksekutif yang mahu menjadi isteri saya," katanya.
Sebelum ini, lelaki tersebut pernah mencuba nasib mencari pasangan dalam laman web mencari jodoh, namun usahanya itu tidak berjaya.
"Saya selalu mendapat banyak panggilan daripada wanita yang hanya mahu mengambil kesempatan untuk mendapatkan kad hijau yang membolehkan mereka tinggal di negara ini.
"Namun saya tidak akan mengalah dan menunggu sehingga saya berjaya menemui jodoh saya," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130831/lu_04/Lelaki-luang-masa-12-tahun-cari-isteri-kaya#ixzz2dYghAuMn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: