Pages

Tuesday, July 23, 2013

75 maut gempa bumi kuat di China


SEORANG wanita menunjukkan rumahnya yang runtuh selepas gempa bumi kuat melanda daerah Minxian, dalam wilayah Gansu di China semalam.- REUTERS


BEIDAO - Lebih 75 orang terbunuh apabila dua gempa bumi cetek menggegarkan barat laut China semalam, kata seorang pegawai tempatan kepada agensi berita AFP ketika pasukan penyelamat bergegas untuk mencari mangsa.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat menyatakan, gempa kuat berukuran 6.6 pada skala Richter itu melanda pada pukul 7.45 pagi (waktu tempatan) dan berpusat 151 kilometer ke barat bandar ini, dalam wilayah Gansu.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman hanya 9.8 kilometer dari permukaan Bumi.
Gegaran kedua bermagnitud 5.6 melanda kawasan sama pada pukul 9.12 pagi pada kedalaman 10.1 kilometer.
Pegawai berkenaan berkata, sebanyak 75 orang setakat ini disahkan terbunuh dengan lebih 600 lagi mengalami kecederaan serius.
"Lebih 21,000 bangunan di beberapa buah bandar rosak teruk dan lebih 1,200 lagi runtuh," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, portal berita internet 163.com melaporkan, sebanyak 500 anggota tentera termasuk 120 petugas khas penyelamat telah dikerah ke tempat kejadian.
Stesen-stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan beberapa buah kampung dan jalan raya yang runtuh akibat gempa bumi itu.
Sebahagian besar barat laut China terdedah kepada gempa bumi.
Beberapa penduduk di daerah Minxian dilapor sebagai berkata, mereka melihat banyak pokok dan rumah bergegar.
Menurut mereka, gempa itu berlaku sekitar satu minit.
Gegaran turut dirasakan di ibu negeri wilayah Gansu, Lanzhou dan hingga ke bandar Xian.
Xian merupakan ibu negeri wilayah Shaanxi yang berjiran dengan Gansu.
Sebanyak 200 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan awal tahun ini selepas hampir 90,000 orang maut dalam satu gempa bumi dahsyat di wilayah sama. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0723&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2ZphlPMI3 
Hakcipta terpelihara 

No comments: