Pages

Friday, May 31, 2013

Nehal gadis India paling cantik


Nehal Bhogaita dinobatkan sebagai
Miss India Worldwide 2013.

Oleh Ziinine Abdesselam SEORANG gadis cacat pendengaran Nehal Bhogaita, 24, berdarah kacukan India Afrika yang lahir dan dibesarkan di United Kingdom (UK), mengalahkan 39 jelitawan lain dari seluruh dunia untuk dinobatkan sebagai Miss India Worldwide 2013.
Dengan kemenangan itu, Nehal Bhogaita mencatat sejarah sebagai satu-satunya peserta orang kelainan upaya (OKU) yang dimahkotakan sebagai wanita India paling cantik di dunia.
Sementara itu, ratu cantik dari Malaysia, Jasveer Kaur Sandhu pula muncul naib juara manakala tempat ketiga jatuh kepada Surbhi Sachdev dari Oman.
Dua lagi yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah Geetanjali Kelath dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Ayushi Chhabra dari Nigeria.
Dalam pertandingan yang diadakan di Kuala Lumpur itu baru-baru ini, Nehal menampilkan personaliti yang menarik dengan persembahan tarian Bollywood sebagai acara rutin dan kemuncak pertandingan.
Dengan cara tersendiri dan tidak mudah menyerah kalah, Nehal walaupun tidak boleh mendengar muzik telah menari mengikut gegaran rentak muzik bagi menghiburkan tetamu.
Nehal yang bekerja sebagai pembantu komuniti di Action Deafness di UK, menghulur bantuan dengan cara memberi keyakinan dan mengajar golongan OKU menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat.
Di Action Deafness, beliau turut mengetuai projek tarian dengan mengajar golongan cacat pendengaran dan kumpulan yang sukar mendengar, tentang cara-cara menari.
Nehal berusaha menyeimbangkan kehidupan sehariannya sebagai pembantu komuniti dan tugas hakikinya sebagai pakar terapi di sebuah kecantikan di bandar Leicester.
"Pekerjaan ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu dan membantu pelbagai lapisan masyarakat cara-cara membentuk kecantikan luaran dan dalaman," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebelum ini, Nehal pernah menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Deaf UK pada tahun 2007 di mana dia dinobatkan sebagai Ratu Berbakat.
Dalam pada itu kata Nehal, menari menjadi sebahagian daripada hidupnya walaupun tidak boleh mendengar muzik.
Walaupun tidak dapat mendengar irama muzik, dia dapat merasakan gegaran muzik melalui kaki dengan mengira rentaknya.
"Semasa kecil, saya suka menonton filem-filem Bollywood yang ditayangkan di televisyen.
"Saya melihat mereka menari dan berharap dapat menari seperti mereka satu hari nanti. Saya mula menyertai kelas tarian sewaktu berusia 11 tahun," ujarnya panjang lebar.
Berusaha memenuhi impiannya, pada 2011, Nehal menyertai pertandingan Just Dance dan berjaya berada dalam kelompok 14 teratas di UK.
Pada pertandingan itu, Nehal berpeluang mempersembahkan tarian di hadapan pereka tari terkenal Bollywood Farah Khan dan pengarah filem, Vaibhavi Merchant.
Dalam pada itu, sepanjang pertandingan Miss India Worldwide 2013 di Kuala Lumpur, Nehal, yang boleh membaca pergerakan bibir, ditemani adiknya, Jayeesha , 19, sebagai penterjemah.
Nehal telah membuktikan bakatnya dengan cemerlang pada pusingan akhir sekali gus merobohkan sempadan terhadap kecacatannya dalam kalangan masyarakat.
Kejayaan yang diperoleh itu sekali gus membuktikan kecacatan bukan penghalang kepadanya untuk mencapai kejayaan.
Malah, dia berpeluang menjadikan dirinya sebagai contoh bahawa tiada yang mustahil untuk melakukan sesuatu jika berusaha.
"Saya hendak menjadi ikon bukan sahaja kepada orang yang cacat pendengaran malah kepada semua orang bahawa sesiapa sahaja boleh mencapai cita-citanya," katanya.
Impian Nehal sekarang ialah membuat persembahan dengan melibatkan pelajar-pelajar cacat pendengaran dan sukar mendengar menunjukkan.
"Menjadi Miss India Worldwide 2013 memberi peluang kepada saya untuk membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.
"Kini saya boleh menjadi contoh dan model inspirasi kepada orang kelainan upaya (OKU) seperti saya, selain memberi keyakinan dan keberanian kepada manusia yang sempurna untuk mencapai impian masing-masing," jelasnya.
Sepanjang menjadi Miss India Worldwide kata Nehal, dia ingin melancong ke negara-negara dunia ketiga bagi mengutip derma dan membantu golongan yang memerlukan.
Dia juga mengimpikan untuk bekerja dan diberi peranan sebagai pelakon atau penari dalam Bollywood.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Feminin/20130531/fe_01/Nehal-gadis-India-paling-cantik#ixzz3BTUb3Bcz
© Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMBINASI gambar menunjukkan fenomena gerhana matahari separa yang dilihat di Balai Cerap Sydney di Sydney semalam.



SYDNEY - Sejumlah peminat astronomi berkunjung ke utara Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa semalam.
Fenomena itu berlaku apabila bulan bergerak di antara bumi dan matahari.
Sebelum ini, gerhana penuh dapat dilihat di utara Australia pada November tahun lalu menyebabkan pemandangan menjadi gelap selama dua minit.
Bagaimanapun, gerhana matahari separa itu menyebabkan bulan hanya melindungi 97 peratus matahari.
Gerhana separa itu juga dapat dilihat di beberapa bahagian di Australia, Indonesia, New Zealand dan Pasifik Selatan.
Seorang ahli astronomi Amerika Syarikat, Jay Pasachoff sanggup datang ke Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari itu. Ia merupakan gerhana matahari kali ke-57 yang pernah dilihatnya.
Dia memandu ke sebuah bukit kecil di Outback yang terletak kira-kira 100 kilometer ke utara bandar Tennant Creek.
Pasachoff dan 100 orang lagi peminat amatur astronomi merakamkan fenomena itu dengan menggunakan kamera. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2SvV3NXGj 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Hungary cipta kereta daripada kayu

Lelaki Hungary cipta kereta daripada kayuKereta daripada kayu yang direka Istvan Puskas. - Foto Ihsan: www.telegraph.co.uk
TISZAORS - Istvan Puskas, 51 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mereka hampir keseluruhan kereta menggunakan kayu.

Kereta itu direka sejak empat bulan lalu di bengkelnya.

Apa yang menarik, tangki bagi meletak petrol menggunakan satu tong bir lama dan ‘gear box’ turut dicipta menggunakan kayu.

Kereta unik itu menggunakan kuasa enjin Poland Fiat 126 manakala stereng menggunakan kenderaan lama Mercedes Benz.

“Saya suka bekerja dengan kayu dan juga suka melakukan perkara yang mampu menarik minat orang ramai,” kata Puskas.

Cuti musim sejuk yang agak panjang memberi dorongan kepada petani ini mereka dan mencipta kereta.

Wednesday, May 29, 2013

Ada minyak dalam telaga


ROHANA ISMAIL
28 Mei 2013
Ada minyak dalam telaga
Anak Salbina, Zulnuraiman, 16, mengasingkan air telaga yang bercampur minyak dipercayai petrol yang dicedok dari telaga di rumah Nik Yusof.
Ada minyak dalam telaga
Zulnurain (kiri) bersama Zulnuraiman menunjukkan air telaga bercampur minyak.
Ada minyak dalam telaga
Mminyak tersebut terbakar selepas dicucuh api.
TUMPAT - Tiga sekeluarga di Kampung Baru Pasir Pekan di sini, terkejut apabila telaga yang digunakan sejak 30 tahun mengeluarkan minyak dipercayai petrol.

Kejadian itu disedari Zulnurain Ahmad, 28, ketika membersihkan telaga di rumahnya dua minggu lalu.

“Semasa saya ceduk air telaga dengan timba, saya nampak air telaga ini berminyak dan berbau seperti minyak petrol.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi selepas ditapis ia seakan minyak petrol,” katanya.

Lebih meyakinkan Zulnurain, minyak yang diambil dari telaga itu apabila dituangkan ke dalam tangki mesin rumput, ia berfungsi dan apabila dicucuh api, ia terbakar.

Air telaga berbau minyak petrol

Dengan penemuan itu, misteri air telaga Zulnurain berbau minyak petrol selama empat bulan lalu terjawab.

Zulnurain berkata, dia amat risau keselamatan keluarganya kerana telaga tersebut berada di dalam rumah.

“Saya ada anak kecil berusia lapan bulan, bau petrol dari telaga itu memenuhi ruang rumah saya.

“Bukan sahaja mendatangkan pencemaran bau, tetapi boleh mengundang kebakaran dan  memudaratkan kesihatan  saya kerana air telaga itu sudah tercemar,” katanya.

Zulnurain berkata, sejak penemuan minyak itu, hampir 100 liter minyak dipercayai  petrol berjaya dikumpulkan dan diletakkan dalam tangki mesin rumput.

Dua telaga  jiran Zulnurain turut terlibat

Tinjauan Sinar Harian di kampung tersebut mendapati dua lagi telaga iaitu di rumah Nik Yusof Nik Salleh, 75, dan Ahmad Othman, 69, turut berbau minyak petrol dan airnya berminyak.

Didapati telaga milik Nik Yusof yang berada di belakang rumahnya seperti ada mata air bercampur minyak membuak keluar dari celah kerek telaga itu.

Dari mana minyak ini datang terus menjadi misteri, bagaimanapun tinjauan wartawan mendapati kira-kira 200 meter dari kediaman mereka, beroperasi sebuah stesen minyak.

Khuatir disambar api

Isteri Ahmad, Salbina Mohamad, 46, berkata, sejak dia mengetahui telaganya bercampur dengan minyak dipercayai petrol, dia tidak memasak khuatir disambar api.

“Permukaan telaga saya yang terletak di dalam rumah dipenuhi dengan minyak, saya khuatir ia disambar api ketika saya sedang memasak,” katanya.

Menurutnya, akibat meminum air telaga tersebut, suaminya Ahmad sakit, namun alhamdulillah  semakin pulih selepas berhenti menggunakan air dari telaga itu.

Lapor kepada Jabatan Alam Sekitar

Salbina berkata, masalah air telaga bercampur minyak di percayai petrol sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar.

“Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ia melibatkan keselamatan kami tiga sekeluarga di sini.

“Bila-bila masa sahaja kebakaran boleh berlaku, sekiranya ada puntung rokok tercampak dalam telaga ini, atau apa sahaja sumber api berada berhampiran telaga ini,” katanya.

Bayi dalam paip diselamat

Foto
PAIP kumbahan dipotong secara berhati-hati untuk menyelamatkan bayi di dalamnya.
Foto
ANGGOTA penyelamat cuba menarik keluar bayi, tetapi tidak berjaya.

Foto
PAIP dipecahkan sedikit demi sedikit agar bayi tidak cedera.
Foto
SEBAHAGIAN besar tubuh bayi sudah kelihatan.
Foto
BAYI itu akhirnya diselamatkan oleh anggota bomba.
Jinhua: Seorang bayi baru lahir diselamatkan anggota bomba selepas dia dibuang tersumbat dalam paip kumbahan di sebuah rumah di China.

Bayi berkenaan diselamatkan dari dalam paip selebar 10 sentimeter yang terletak betul-betul di bawah sebuah tandas selepas beberapa pejalan kaki mendengar dia menangis.


Polis menyiasat kes itu sebagai cubaan membunuh dan melancarkan gerakan menjejaki ibu bapanya. Rangkaian televisyen China, CCTV melaporkan, bayi itu ditemui di bawah sebuah kediaman di Jinhua, di kawasan mewah Zhejiang.

Pasukan penyelamat terpaksa memotong paip berkenaan dan membawanya bersama-sama bayi itu ke hospital berhampiran.


Doktor dengan berhati-hati memotong paip itu, kerja yang dilakukan hampir sejam, sebelum dapat menyelamatkan bayi lelaki seberat 2.3 kilogram itu.

Media China melaporkan, kanak-kanak itu yang dinamakan Bayi Nombor 59 sempena nombor inkubatornya, selamat dan stabil.

Rakaman video mengenai usaha menyelamat itu disiarkan di seluruh negara semalam dan mendapat ribuan ulasan menerusi Weibo, laman media sosial popular negara itu. Seorang pengguna menulis: “Saya tidak boleh menerima atau memaafkan perbuatan membuang bayi yang masih beruri dan bertali pusat ke dalam paip tandas. Adakah mereka yang bertanggungjawab layak dipanggil manusia. “Sifat kehaiwanan berbanding kemanusiaan di kalangan orang dewasa semakin meluas.” Laporan mengenai bayi dibuang sering disiar media negara berkenaan. Antara punca yang dikatakan menyebabkan keadaan itu berleluasa ialah undang-undang merancang keluarga yang ketat. China melarang pasangan suami isteri mempunyai lebih daripada seorang anak. - Daily Mail

Tuesday, May 28, 2013

Tuah terlalu kacak, wanita misteri beri Mercedes



28 Mei 2013
Omar Borkan al-Gala
Omar Borkan al-Gala
OTTAWA - Seorang lelaki  yang dilaporkan pernah dibuang negeri dari Arab Saudi kerana terlalu kacak mendapat tuah yang tidak disangka apabila menerima sebuah kereta Mercedes daripada peminat misterinya.

Omar Borkan al-Gala, 23, pernah dibuang dari negara asalnya kerana terlalu kacak hingga dibimbangi akan menarik perhatian ramai wanita.

Namun, beliau bijak menggunakan kelebihan yang ada padanya dengan memilih kerjaya sebagai model.

“Saya menerima hadiah Mercedes G55 sempena sambutan harijadi saya daripada seorang wanita misteri,” katanya kepada majalah In Touch.

Selain menerima hadiah, Omar juga dikatakan kini mula membina tapak dalam kerjaya lakonan apabila membintangi sebuah filem pendek bersama bintang terkenal Navid Negahban.

Hotel angkasa pertama di dunia


Abu Dhabi: Timur Tengah bakal menjadi pusat hotel konsep baru yang membawa perubahan besar kepada industri pelancongan dengan pengenalan Hotel Angkasa.

Foto
REKA bentuk Hotel Angkasa di Pulau Barcelona
mengikut gambaran artis.
Dubai, Abu Dhabi dan Doha adalah tiga bandar raya yang berpotensi menempatkan Hotel Angkasa pertama di rantau itu.


Syarikat Mobilona Space Hotels yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, konsep yang dibawa mereka adalah mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Jerome Bottari berkata, pengunjung akan melalui pengalaman luar biasa kerana berpeluang meneroka galaksi tanpa perlu meninggalkan bumi.


Foto“Kami menerima cadangan pembinaan Hotel Angkasa di Doha, Abu Dhabi dan Dubai,” katanya. Minggu lalu Mobilona Space Hotels mengumumkan rancangan mereka membina Hotel Angkasa Mobilona setinggi 300 meter dan dilengkapi spa bebas graviti.


Syarikat itu berkata, hotel berkenaan juga dilengkapi terowong angin di pulau buatan manusia di luar pantai Barcelona. Kata Bottari, syarikatnya merancang membuat pelaburan bernilai 1.5 bilion euro (RM5.9 bilion) untuk pembangunan projek Pulau Barcelona serta membina lebih 2,000 bilik hotel serta kediaman mewah di situ.



“Hotel Angkasa juga akan dibina di Los Angeles dan Hong Kong,” katanya. Menurut Bottari, pengumuman mengenai projek itu di Timur Tengah akan dibuat selepas pembinaan Pulau Barcelona bermula tidak lama lagi.

Katanya, bangunan yang dirancang itu dibina dengan gabungan reka bentuk dan teknologi terkini bagi membentuk suasana sesuatu tempat di dunia atau di cakerawala.

“Tingkap Hotel Angkasa diperbuat daripada kaca lutsinar yang boleh bertukar menjadi lampu bagi menghasilkan persekitaran seperti di angkasa lepas,” katanya.


Menurut Bottari, apabila penghuni mahu ‘kembali’ daripada pengembaraan itu, mereka hanya perlu menekan suis untuk memadamkan lampu berkenaan.


Lebih menarik, bilik itu juga dilengkapi permukaan unik bagi menghasilkan paparan sebaik mungkin walaupun ia dilihat dari sebarang arah. “Kami menggabungkan pengalaman visual bagi merangsang semua lima panca indera pengunjung menikmati dunia di sekitar mereka, mendengar bunyi, menghidu bau-bauan kegemaran, menyentuh objek dan merasa sendiri apa yang diinginkan,” katanya. Apabila siap, suite hotel dan kediaman mewah itu akan dijual pada harga antara RM1.9 juta hingga RM10.2 juta, manakala penthouse bernilai daripada RM15.3 juta sehingga RM78.4 juta Jika anda ingin menginap di hotel itu, kadar sewaan biliknya adalah antara RM1,175 hingga lebih RM 5,800 satu malam. - AP

Monday, May 27, 2013

Hari perbarisan tiga planet



26 Mei 2013
Hari perbarisan tiga planet
Hari perbarisan tiga planet
Trio planet ini diramal jelas kelihat di langit beberapa negara Eropah dan Barat
DUA planet paling cerah di langit sepanjang bulan ini, iaitu Zuhrah dan Musytari, bakal didekati oleh satu lagi planet dekat dengan matahari iaitu Utarid.

Secara amnya, Zuhrah adalah planet kedua menghampiri matahari dan Musytari yang mengorbit di luar marikh berkedudukan lebih 10 juta kilometer antara satu sama lain.

Namun, pada bulan ini, tiga planet itu dilaporkan berputar seiringan dan semakin rapat antara satu sama lain kemudian disertai pula oleh planet Utarid.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) melaporkan, penduduk bumi dapat menyaksikan kedudukan rapat tiga planet itu bermula semalam pada waktu senja selama 30 minit.

"Kejadian tiga planet berada dekat dalam tiga segi jarang sekali berlaku. Kali terakhir berlaku pada Mei 2011 dan kita menjangkakan pada pertengahan Oktober 2015 nanti," kata jurucakap Nasa.

Bagaimanapun, planet Zuhrah dan Musytari diramal berkedudukan lebih rapat tidak kurang daripada satu darjah.

"Selepas itu, Zuhrah dan Utarid akan terus bergerak lebih tinggi sementara Musytari menuju ke arah bawah iaitu matahari," katanya.
- Reuters

Pejuang Islam si kulit hitam, Malcolm X


NURBAYA ABDUL REZAK
27 Mei 2013
Pejuang Islam si kulit hitam, Malcolm X
Insiden Malcom ditembak ketikq berucap di Audubon Ballroom, Manhattan.
 El-Hajj Malik El-Shabazz
El-Hajj Malik El-Shabazz
MALCOLM X atau nama Islamnya, El-Hajj Malik El-Shabazz merupakan tokoh penting ketika era Hak Asasi Awam di Amerika Syarikat (AS).

Ketegasannya dalam menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat kulit hitam mengundang ketakutan kepada kumpulan majoriti kulit putih di seluruh AS.

Bagaimanapun, Malcolm mula berlembut sedikit dengan masyarakat kulit putih sejurus meninggalkan pergerakan Nation of Islam yang menyebarkan ajaran sesat kepada etnik kulit hitam.

Dalam pertengahan Februari, 1965, Malcolm ditembak mati sewaktu majlis ucapannya dibom dipercayai perbuatan ahli pergerakan Nation of Islam.

Namun, sehingga ke hari ini Malcolm X masih hidup menerusi buku autobiografi yang menceritakan perihal idea-idea yang disebarkan dan keghairahannya untuk memperjuangkan Islam yang sebenar selain misinya untuk mengeluarkan masyarakat kulit hitam daripada cengkaman perhambaan.

Dipenjara
Malcolm pernah dihukum penjara selama 10 tahun sewaktu berusia 20 tahun dalam Januari 1946 kerana kesalahan memecah masuk, membawa senjata api dan merompak.

Anak muda berdarah panas dan masih lagi mencari arah tujuan hidup itu turut digelar ‘syaitan’ kerana sering membantah tuhan serta Bible sewaktu di Penjara Negeri Charlestown.

Pada 1948, keluarga Malcolm memeluk Islam dan saudara lelakinya, Reginald telah menghantar sepucuk surat kepadanya meminta adiknya itu menyertai pergerakan Naton of Islam.

Susulan itu, Malcolm mula mempelajari ajaran Islam diperkenalkan oleh seorang pengasas gerakan Islam Afrika-Amerika, Nation of Islam, Elijah Muhammad.

Kakak tirinya, Ella turut membantu memindahkannya ke koloni penjara berkawalan rendah di Norfolk, Massachusetts di mana Malcolm dapat menumpukan lebih dalam mendalami ilmu Allah SWT selain mendekati sejarah serta falsafah Nation of Islam.

Pertama kali Malcolm mengenali Muhammad ialah semasa berada di penjara di mana beliau mengutus surat kepada pemimpin setiap hari.

Selepas dibebaskan daripada tahanan parol pada 7 Ogos, 1952, Malcolm memutuskan untuk menambah baik nilai dirinya dengan membeli beg bimbit, sepasang cermin mata dan seutas jam tangan.

Bertemu jalan Islam
Setelah bebas daripada hukuman penjara selama lebih lapan tahun, Malcolm mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Muhammad di Chicago.

Di situlah, beliau menerima gelaran sebagai Malcolm X yang bermaksud penolakan terhadap nama perhambaannya.

“’X’ adalah simbol menunjukkan betapa aslinya nama keluarga Afrika itu yang tidak mungkin semua orang tahu.
Bagi saya, ‘X’ menggantikan nama dan gelaran yang diberikan oleh tuan berkulit putih iaitu ‘Little’ yang mana nam itu sendiri pernah digunakan oleh beberapa lelaki kulit putih bermata biru dan pernah menyusahkan nenek moyang saya,” kata Malcolm.  
Pada 1953, beliau dilantik sebagai pembantu menteri Islam di bawah pimpinan Muhammad.
Namun, ajaran Muhammad turut menyumbang pandangan bersikap rasis sehingga Malcolm berubah menjadi terlalu keras terhadap perbezaan kasta serta berpendapat bahawa golongan kulit putih adalah iblis. Malah beliau, meletakkan Muhammad sebagai individu paling terhormat susulan penerapan bahawa lelaki itu adalah utusan Allah SWT.
Bagaimanapun, Malcolm masih tidak sedar bahawa ajaran yang dibawa Muhammad terpesong dengan Islam sebenar selepas membezakan kehormatan dan hinanya seseorang itu berdasarkan kasta serta mengangkat Muhammad sebagai perutusan tuhan walaupun hakikatnya tiada lagi perutusan Allah SWT iaitu manusia bergelar nabi sesudah wafatnya Nabi Muhammad SAW.

Sepanjang perjuangannya memperluaskan gerakan Nation of Islam, Malcolm kerap mendengar khabar angin mengenai hubungan skandal Muhammad bersama beberapa setiausahanya.

Mengikut dasar gerakan, aktiviti mungkar seperti berzina amat ditegah dan Malcolm sama sekali tidak percaya dengan gosip tersebut.

Namun, panas tidak sampai ke petang apabila akhirnya Muhammad mengakui kebenaran gosip itu.
Pada 1963, sejurus menamatkan khutbahnya, Malcolm diminta mengulas mengenai isu pembunuhan Presiden AS, Jonh F. Kennedy.

Dengan sinis, beliau berkata, ini adalah kes ‘ayam pulang ke reban’ yang menyamai kegagalan menangani keganasan oleh Kennedy dan akhirnya memakan dirinya sendiri.

Bagaimanapun, komen itu mendapat reaksi negatif daripada jutaan rakyat AS yang amat sayangkan Kennedy dan memaksa gerakan Nation of Islam mengenakan hukuman kepada Malcolm.

Akibatnya, Malcolm diharamkan memberi khutbah selama enam bulan.

Kepalsuan Nation of Islam

Dalam 1964, Malcolm mengumumkan perpisahan dengan Nation of Islam dan menubuhkan gerakan sendiri iaitu Muslim Mousque. Inc.

Pada musin bunga 1964, Malcolm berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa JFK ke Arab Saudi bagi menunaikan ibadah Haji di kota Makkah.

Menurut Malcolm, sepanjang perjalanan ke Makkah, beliau seperti bangun dari mimpi dan ibadah Haji mengubah corak kehidupannya menjadi seorang Islam sebenar dan bukannya pengikut telunjuk Elijah Muhammad.

“Sejurus menjejakkan kaki ke Baitullah, Allah SWT memberi petunjuk kepada saya dan mengubah kepercayaan terhadap sekatan perhubungan antara kaum.

“Malah saya telah sedar akan kepalsuan Nation of Islam. Perjalanan haji telah membuka pemikiran saya dengan menganugerahkan pandangan baru selama di tanah suci.
“Saya melihat hal yang tidak pernah saya lihat selama 39 tahun hidup di Amerika Syarikat di mana semua kasta dan warna kulit bersaudara dan beribadah kepada satu Tuhan tanpa menyekutukanNYA.

“Benar pada masa lalu saya bersikap benci pada semua orang kulit putih namun saya tidak merasa bersalah dengan sikap itu lagi kerana sekarang saya tahu bahawa ada orang kulit putih yang ikhlas dan mahu bersaudara dengan bangsa Negro.

“Kebenaran Islam telah menunjukkan kepada saya bahawa kebencian membabi buta kepada semua orang putih adalah sikap yang salah seperti halnya jika sikap yang sama dilakukan orang kulit putih terhadap orang Negro,” katanya.

Sebaik sahaja pulang ke negaranya, Malcolm terus memeluk agama Islam dan menukarkan namanya kepada El-Hajj Malik El-Shabazz dan menubuhkan Organisasi Persatuan Afro-Amerika Organization of Afro-American Unity.
Di sana beliau berkhutbah mengenai toleransi terhadap bangsa lain dan juga nasionalisme kulit hitam.

Detik dibunuh
Susulan pengumuman keluar daripada gerakan Nation of Islam, Malcolm mendapat kritikan dan tentangan hebat daripada pimpinan serta ahli gerakan itu.

Malah, gerakan itu turut mengeluarkan arahan membunuh Malcolm.

Pada 14 Februari, 1965, rumahnya di New York dilempar dengan bom api oleh Nation of Islam, tetapi Malcolm dan keluarganya terselamat.

Seminggu kemudian pada 12 Februari, di Audubon Ballroom, Manhattan, Malcolm baru sahaja memulakan ucapannya apabila kekecohan berlaku dalam himpunan 400 orang.
Seorang lelaki menjerit, “Get your hands off my pockets! Don’t be messin’ with my pockets!” dan seorang kulit hitam meluru ke hadapan dan menembak dada Malcolm.
Dua orang lagi yang bersenjatakan pistol melepaskan tembakan ke arah beliau.
Tiga lelaki ditahan atas tuduhan membunuh dan kesemuanya adalah ahli Nation of Islam iaitu Talmadge Hayer, Norman 3X Butler, dan Thomas 15X Johnson.

TRIVIA
-Dilahirkan sebagai Malcol Little pada 19 Mei 1925, di Omaha, Nebraska, Amerika Syarikat.
-Ayahnya, Earl adalah seorang paderi Baptist dan penyokong kepada aktivis pan-Afrika, Marcus Garvey dan telah dibunuh di Lansing, Michigan dalam 1931.
-Malcolm mendedahkan kematian ayah dan saudara lelakinya disebabkan keganasan masyarakat kulit putih termasuk seorang dihukum bunuh tanpa perbicaraan.
-Malcolm berhenti dari sekolah menengah dan berpindah ke Boston.
-Bekerja sebagai pengilat kasut di sebuah kelab malam, Lindy Hop (pernah mengilat kasut Duke Ellington dan pemuzik kulit hitam terkenal).
-Berpindah ke Harlem, New York dan terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian, pelacuran, memeras ugut dan merompak serta sanggup berlakon sebagai orang gila untuk mengelakkan dari dihantar menyertai kerahan tenaga Perang Dunia II.
-Berkahwin dengan Betty Shabazz pada 1958.
-Dikurniakan enam anak iaitu, Attallah Shabazz, Qubilah Shabazz, Ilyasah Shabazz, Gamilah Lumumba Shabazz, Malikah Shabazz dan Malaak Shabazz.
-Pengasas gerakan politik Black nasionalisme, pan-Afrika.
-Memeluk Islam selepas pulang dari menunaikan Haji
-Disahkan meninggal dunia kerana kecederaan tembakan pada 21 Februari, 1965 (39 tahun) di New Y

Berjalan atas tali setinggi 185 meter



WARGA Austria, Reinhard Kleindl berjalan di atas tali setinggi 185 meter di Frankfurt kelmarin.- REUTERS


FRANKFURT - Seorang lelaki berjalan merentasi tali sepanjang 30 meter pada ketinggian 185 meter di Jerman kelmarin dalam usaha mencipta rekod dunia walaupun dia takut pada ketinggian.
Reinhard Kleindl, 32, menggunakan hanya kedua-dua tangannya untuk mengimbangi diri semasa berjalan di atas tali yang diikat pada dua bahagian menara Tower 185 di sini.
Adegan lagak ngerinya disaksikan oleh beberapa ratus orang di perkarangan bangunan tersebut.
Warga Austria itu yang tidak dibantu abah-abah, melakukan aksi ngeri untuk mencipta rekod berjalan di atas tali paling tinggi di kawasan bandar.
Menurutnya, rekod kategori tersebut dipegang oleh seorang warga Perancis yang berjalan di atas tali setinggi 120 meter di antara laluan Menara Berkembar Les Mercuriales di Paris dua tahun lalu.
Selepas menamatkan aksi tersebut, Kleindl bersorak gembira dan mengaku dia takut pada ketinggian.
"Impak ketinggian ini pada diri saya lebih teruk daripada yang saya jangkakan," kata warga Austria itu.
Setakat ini, pencapaian tersebut belum disahkan oleh badan rasmi sukan tersebut, Persekutuan Tali Pipih.- Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2URub1Hqx 
Hakcipta terpelihara 

Bandar di Asia paling ramai orang kaya


Seoul: Beberapa bandar raya di Asia disahkan memiliki populasi orang terkaya di dunia paling ramai berbanding tempat lain.

Berdasarkan senarai dikeluarkan sebuah agensi perundingan kekayaan London, Wealth Insight, enam daripada 10 bandar raya teratas memiliki hartawan paling ramai adalah dari Asia.

Berada di kedudukan teratas ialah Tokyo yang mempunyai 461,000 jutawan dengan nilai aset tanpa hutang lebih AS$1 juta (RM3 juta).

New York dan London masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.


Tokyo berada di tempat pertama kerana kepadatan penduduknya di kawasan bandar dan 20 peratus daripada hartawan Jepun tinggal di Tokyo.


Sementara itu, Seoul berada di tempat ke-11 dalam senarai tu dengan 131,000 jutawan.

Wealth Insight meramalkan China akan mengatasi Jepun dalam senarai jumlah jutawan dan berada di kedudukan kedua selepas Amerika Syarikat menjelang 2020. - AP

Padah ingin pinggul menarik

Foto
APRYL kini terpaksa meneruskan hidup tanpa tangan dan kaki.
Los Angeles: Seorang ibu kepada dua anak semalam menceritakan bagaimana impiannya untuk memiliki pinggul lebih menarik berakhir dengan tragedi apabila dia terpaksa membuang kedua-dua tangan dan kakinya, selain hampir-hampir menemui ajal.
Apryl Michelle Brown tidak menyangka keputusannya memilih suntikan silikon di pasaran gelap menyebabkan dia berdepan maut.
Semua gara-gara bahan yang digunakan untuk menyuntik pinggul Apryl bukan silikon sebenar, sebaliknya hanya sejenis pelekat industri yang cuma sesuai digunakan di bilik mandi.

Sebelum itu, Apryl berasa pinggulnya tidak cukup menarik dan mahu menukarnya melalui suntikan silikon.


Kata Apryl, 46, dia menyangka prosedur itu tidak membahayakan walaupun ketika itu dia mendapatkan khidmat daripada pihak yang tidak bertauliah.

“Hakikatnya, bahan yang digunakan itu tidak sesuai untuk manusia,” katanya.
Insiden yang mengubah keseluruhan hidup Apryl mengalami itu berlaku pada 2004 apabila dua wanita menemuinya di salun kecantikan yang diusahakannya.

Kata Apryl, wanita terbabit datang ke situ untuk mencantikkan rambut mereka.

“Seorang daripada mereka menawarkan suntikan silikon tanpa lesen yang sedia memberikan khidmat ke rumah pelanggan.

“Untuk membuktikan keberkesanan suntikan itu, wanita terbabit menunjukkan rakannya yang memiliki pinggul menarik,” katanya.

Melihat keadaan itu, Apryl berkata, dia menyangka keajaiban berlaku dalam hidupnya.

Namun, keputusan Apryl mempercayai wanita terbabit ternyata membawa dia ke ambang maut.

Apryl membayar upah kira-kira RM3,000 untuk dua suntikan pada pinggulnya.

Selama dua tahun selepas itu, kawasan suntikan berkenaan menjadi keras dan warna kulit menjadi kehitaman.

Tahun-tahun berikutnya, Apryl terpaksa menanggung kesakitan yang berterusan dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana doktor berpendapat, terlalu bahaya jika silikon itu dibuang.

“Saya terseksa sentiasa dan menjadi pengunjung biasa hospital kerana terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit.

Pada 2011, satu pembedahan bagi membuang bahan itu dijalankan tetapi gagal, menyebabkan pinggul Apryl berlubang dan menjadi punca kepada jangkitan kuman yang nyaris meragut nyawanya.

Doktor terpaksa meletakkan Apryl dalam keadaan koma selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu menjalankan 27 pembedahan - bermula dengan memotong pinggulnya.

“Mereka menyelamatkan nyawa saya tetapi berlaku gangren pada tangan dan kaki, memaksa doktor memotong kedua-dua tangan dan kaki saya,” katanya.

Di sebalik insiden itu, Apryl mengakui tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan kecuali dirinya sendiri.

“Semuanya bermula kerana saya mahukan pinggul lebih besar,” katanya. - Daily Mail

Sunday, May 26, 2013

Jurugambar berani mati

Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko ketika
 merakamkan fenomena unik ini.
Foto
MORGAN sanggup berdepan risiko menghampiri
laluan lahar membelah batuan yang boleh menyebabkannya
terjatuh apabila struktur batuan menjadi lemah.
Foto
ELEMEN yang digabungkan Morgan di Taman
Gunung Berapi Negara di Hilo, Hawaii.
Foto
ALIRAN lahar GunuAng Berapi Kilauea memasuki
laut sebelum terbit matahari.

Demi minat dan kesungguhannya kepada tugasan merakam gambar ekstrem, Miles Morgan rela berdepan dengan bahaya, selain kehilangan kasut serta sebahagian peralatan kamera.

Jurugambar berasal dari Portland, Oregon di Amerika Syarikat itu menghabiskan masanya sejak beberapa tahun lalu mendaki gunung berapi aktif di Kepulauan Hawaii untuk merakamkan aliran lahar dan asap tebal serta debu yang meletus dari kawahnya.

Di laman sesawang Morgan, jurugambar itu menyatakan dia lahir dalam keluarga yang meminati seni fotografi.

“Sepanjang zaman kanak-kanak sehingga remaja, kamera sentiasa menjadi peneman saya,” katanya.


Pada April 2009, Morgan mula merakamkan gambar landskap pergunungan, tasik, padang pasir tandus dalam skala besar.


Tidak lama dulu, jurugambar berusia 41 tahun itu mengubah minatnya kepada gunung berapi.

Dalam banyak misi, buruan Morgan sering membawanya hanya beberapa inci dari lahar gunung berapi yang berselerak di Hawaii.

Pada satu daripada gambar dirakam itu, Morgan mengambil imej dirinya berdiri hanya beberapa meter dari tebing kawah Gunung Berapi Kilauea tanpa mengenakan sebarang pakaian penahan panas.

Kata Morgan, hobinya itu memang sangat berbahaya.

“Di Hawaii, suhu lahar itu boleh mencecah 1,100 darjah,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan, di sesetengah tempat batuan yang lebur dan mengalir itu menyebabkan tapak di sekitarnya menjadi tidak stabil.

Dalam keadaan itu, seseorang boleh terjatuh ke dalam lahar bila-bila masa.
Setiap kali menyiapkan misinya, Morgan sentiasa berdepan dengan ancaman lahar, air panas (akibat lahar yang masuk ke laut) serta gas beracun yang dikeluarkan bersama letusan gunung berapi.

Bagaimanapun, setakat ini dia bernasib baik - berbanding tapak kasut dan kaki kamera yang dibawanya.

Pada Januari 2011 lawatan Morgan ke Hilo, Hawaii membawa dia ke kawasan persendirian di pinggir pantai yang dipenuhi aliran lahar gunung berapi.

Fenomena itu memberi peluang kepada Morgan merakamkan imej istimewa yang memaparkan bagaimana aliran lahar membelah batuan hitam ketika ombak laut melanda pantai.

Dalam ceritanya, Morgan berkata, perhatiannya sentiasa terganggu oleh bau hangit daripada kesan terbakar pada tapak kasut serta peralatan kamera yang dibawa.

“Disebabkan ia kawasan persendirian, saya perlu menggunakan khidmat jurupandu.

“Lebih penting, ada aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian dan jurupandu profesional dan berpengalaman dianggap satu kemestian,” katanya.

Hidup semula selepas 3 dekad

Foto
GAMBAR zaman remaja ketika Christine (dua dari kanan) bersama rakan sekelasnya, termasuk Viv (dua dari kiri).
London: Rakan Christine Greenslade terkejut apabila mendapat tahu dia meninggal dunia pada usia baru 34 tahun.
Bagaimanapun, mereka lebih terkejut apabila Christine menghubungi mereka semula untuk menganjurkan pertemuan semula, tiga dekad kemudian. 
Hakikatnya, Christine masih hidup dan menyedari sebuah akhbar tempatan tersilap dalam laporannya kerana mendakwa dia meninggal dunia pada 1980.

Ketika itu sebenarnya ibu Christine, Pamela yang meninggal dunia, tetapi ketika dia menguruskan notis kematian untuk disiarkan dalam akhbar, nama mereka tertukar.


Bagaimanapun, Christine tidak menyedari kesilapan itu dan berpindah ke tempat lain selepas kematian Pamela tanpa memaklumkan perkara itu kepada rakannya di Penzance, Cornwall yang berkabung.

Kekeliruan itu hanya terlerai apabila Christine menelefon rakan lamanya di Penzance untuk mengadakan majlis pertemuan semula baru-baru ini.

Kini berusia 66 tahun dan menetap di Perancis, Christine bersiap sedia melawat rakan zaman persekolahannya.

Kata Christine, ketika kali pertama bercakap dengan rakan karibnya, Viv Albright, dia kedengaran sangat aneh.

“Ia bukan reaksi yang saya jangkakan daripada sahabat lama,” katanya semalam.

Sejurus kemudian, Viv menelefon Christine semula untuk meminta maaf dan memberitahu, mereka menyangka dia meninggal dunia pada 1980.

Christine kemudian mengenang semula detik dia membuat tempahan notis kematian di akhbar tiga dekad lalu.

Katanya, seorang lelaki secara khusus meminta nama penuh ibunya, sebelum bertanya namanya sendiri di akhir perbualan.

“Ketika itu nama saya ialah Christine Downing dan ibu pula Pamela Greenslade.

“Ia kelihatan mustahil untuk kedua-dua nama kami tersilap,” katanya.

Keesokan harinya, notis kematian itu memaparkan “Christine Greenslade menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan tiga anak dan seorang suami.”

Untuk kali pertama sejak 33 tahun, Christine akan kembali ke kampung halamannya di Penzance minggu depan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, amat menyedihkan apabila mengenangkan ‘kematian’ itu diratapi rakan-rakannya bertahun-tahun.

“Tetapi, saya pasti ada banyak cerita untuk dikongsikan bersama mereka,” katanya.

Notis ‘kematian’ Christine itu disiarkan akhbar mingguan tempatan Penzance, The Cornishman, yang diterbitkan sejak 1878. - Daily Mail

Saturday, May 25, 2013

Lahir anak ketika ‘mati’ sebelum kembali hidup


Austin (Texas): Keluarga seorang guru yang terhenti jantungnya atas sebab tidak diketahui, semalam meraikan keajaiban pemulihan serta kelahiran bayi perempuannya.

Erica Nigrelli yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris, tidak sedarkan diri ketika di sekolahnya pada Mac lalu.


Ketika itu, Erica, 32, sedang hamil 36 minggu.

Tindakan pantas rakan sekerjanya di Sekolah Tinggi Elkins di Missouri City melakukan bantuan pernafasan membolehkan Erica terus mendapat oksigen sehingga dia dapat dipindahkan ke hospital.


Kini Erica dan bayinya yang berusia tiba bulan, Elayna, didapati tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.


Keluarga Erica juga terlalu gembira melihat keadaan itu. Menceritakan pengalamannya, Erica berkata, dia sempat memberitahu rakan sekerja bahawa dia berasa seperti mahu pitam sejurus sebelum dia tidak sedarkan diri. Suami Erica, Nathan Nigrelli yang mengajar di sekolah sama segera dimaklumkan.

Ketika itu, kata Nigrelli, dia mendapati mulut Erica berbuih, matanya terbeliak dan terdengar bunyi mengerang dari kerongkongnya. Pada masa itu juga jantung Erica berhenti berdegup.


Seorang pembantu klinikal, jururawat sekolah dan jurulatih atlet sekolah itu melakukan bantuan pernafasan.

Mereka juga menggunakan defibrillator untuk menggerakkan semula degupan jantung Erica. Dia kemudian dikejarkan ke hospital tempatan oleh pasukan paramedik yang tiba sejurus kemudian.


Di hospital, Erica menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayinya - sebulan lebih awal daripada sepatutnya.


Dalam keadaan begitu, Erica dianggap mati secara klinikal, tetapi dia sedar semula tidak lama kemudian. - DM

Main gitar ketika dibedah

Foto
CARTER mampu bermain gitar kegemarannya semasa pembedahan otak dijalankan.
Los Angeles: Sebuah hospital semalam mencipta sejarah kerana menyiarkan secara langsung pembedahan otak pesakit mereka melalui kemudahan perkongsian video terkini Twitter, Vine.
Melalui siaran langsung itu, orang ramai dapat melihat Brad Carter, 39, gembira memetik gitar di atas katil ketika doktor membedah kepalanya. Dalam pembedahan itu, pakar bedah memasukkan perentak (pacemaker) ke otak Carter bagi mengatasi kesan penyakit Parkinson dialaminya. Tidak sesuai untuk orang yang lemah semangat, tweet mengenai pembedahan itu turut disertakan dengan video memaparkan setiap tahap prosedur berkenaan.

Walaupun klip itu cuma singkat, kandungannya tetap mengerikan. Carter disahkan menghidap Parkinson selepas dia mengalami masalah goyangan tangan tak terkawal pada 2006 yang menyebabkan dia tidak mampu bermain gitarnya. Pembedahan itu membabitkan rangsangan di kawasan otak dan mengimplan perentak otak bagi merawat pergerakan tangan Carter. Ketika pembedahan berlangsung, Carter tidak dibius keseluruhan badan bagi membolehkan dia bermain gitar dan membantu doktor meletakkan elektrod ke tempat yang tepat. Siaran langsung itu diadakan kerana meraikan pembedahan otak ke-500 di Pusat Perubatan UCLA Ronald Reagan. Ketika kepalanya dibedah, Carter bukan saja boleh bermain gitar, malah mampu menyanyi ketika doktor selesai meletakkan beberapa elektrod ke tempat otaknya. Bercakap kepada kamera, Carter berkata, dia teruja untuk bermain gitar semula.
“Ini adalah lagu asli berjudul Mabuk Kembali,” katanya. - Daily Mail

KISAH MELANIE GEORGIADES



Di tengah-tengah rancak dan kalut nya perdebatan nasional di Perancis berkaitan dengan tudung kepala/jilbab/hijab, seorang rapper Perancis telah mengejutkan semua peminatnya dengan mengumumkan bahawa beliau telah memeluk agama Islam dan memilih untuk mengenakan jilbab.

Mélanie Georgiades, yang juga terkenal dengan panggilan nama "Diam" ini, telah melakukan “transformasi lengkap”.

Sejak tahun 2009, Diam sudah mulai bersara dari aktiviti nyanyian rap, Namun baru-baru ini bekas rapper Perancis itu membuat penampilan baru di televisyen dengan citra barunya.

Diam yang muncul dalam sebuah wawancara TV eksklusif dengan stasyen TV TF1 Perancis, untuk berkongsi tentang pengalaman masa lalu nya ,mengenai keterlibatannya dengan ketagihan ubat-ubatan terlarang, narkotik, dan hingga beliau pernah di masukkan ke rumah sakit jiwa sampai lah ke tahap dia menemui ketenangan dari Islam.

Hidayah ini datang kepadanya secara tidak disengaja,kata nya,pada mula nya dia sangat tertarik ketika melihat seorang teman Muslimnya bersolat.

Diam mengatakan dia telah berkahwin selama lebih dari setahun dan sekarang dia baru sahaja menjadi ibu, dan sudah menjauh dari kehidupan yang bergantung kepada ubat-ubat penenang,ubat-ubat terlarang dan narkotik. Dalam wawancara TV-nya itu dia mengatakan dia “beralih keyakinan ke Islam adalah hasil dari keyakinan peribadinya sendiri , setelah dia memahami dan membaca Al-Quran.”

Ketika ditanya tentang pemakaian jilbab di Perancis, sebuah negara yang telah melarang jilbab itu , dia berkata: “Saya percaya bahawa saya hidup dalam masyarakat yang toleransi, dan saya tidak merasa terluka hati oleh kritikan, ataupun penghinaan dan stereotip negatif. ”

Ditanyakan oleh pewawancara-nya tentang mengapa dia memakai jilbab sementara banyak juga wanita Muslim tidak memakainya dia menjawab: “Saya melihatnya (jilbab itu) sebagai perintah Allah , ini membawa kebahagiaan di hati saya dan bagi saya ini sudah cukup. ”

Diam yang mengatakan bahawa dengan memeluk Islam dia mendapatkan ketenangan dan kedamaian dan bahawa zaman lalu nya sudah tidak sesuai dengan hidupnya lagi, yang saya tahu sekarang saya menjadi tahu apa tujuan keberadaan saya, dan mengapa saya di sini di Bumi Allah ini. ”

Membahas bagaimana hidupnya sebelum menjadi muslimah, Diam mengatakan: “Saya dahulu sangat terkenal dan saya memiliki apa yang setiap orang terkenal miliki, tapi saya selalu menangis dan meratap sendirian di rumah"

Dia menambahkan: “Saya sangat ketagihan ubat-ubatan, termasuk narkotik dan berhalusinasi dan dirawat di rumah sakit jiwa untuk pulih, tapi ini sia-sia sampai saya mendengar salah sseorang teman Muslim saya mengatakan ‘Saya mahu solat dahulu dan akan kembali , jadi saya mengatakan padanya bahawa saya ingin solat juga'.

Mengingati saat itu, Diam itu mengatakan: “itu adalah pertama kalinya saya menyentuh lantai dengan kepala (bersujud) , dan tiba-tiba saya memiliki perasaan yang kuat bahawa saya tidak pernah mengalami (kebahagiaan ini) sebelumnya, dan saya percaya sekarang bahawa berlutut dalam doa, tidak harus dilakukan kepada siapa pun selain untuk Allah. ”

Diam mengatakan bahawa dia pindah ke Mauritius untuk mempelajari Al-Quran, dan memiliki pemahaman yang lebih baik tentang Islam, dan toleransinya Islam.

Sami simbah minyak tanah, bakar diri





KANDY - Seorang sami bertindak membakar diri kerana membantah penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu di Sri Lanka.
Insiden itu merupakan yang pertama membabitkan sami Buddha di negara tersebut.
Polis berkata, sami tersebut, Bowatte Indaratane menyimbah minyak tanah dan membakar dirinya dekat sebuah kuil di sini semasa sambutan Hari Wesak.
"Beberapa anggota polis berhampiran bertindak memadamkan api dan membawa sami itu ke hospital," kata jurucakap polis, Buddhika Siriwardena.
"Sebelum membakar diri, sami itu memberitahu, tindakan tersebut bagi memprotes penyembelihan lembu dan kambing," tambahnya.
Menurut polis, sami tersebut kini berada dalam keadaan tenat di sebuah hospital Sri Lanka.
Memakan daging adalah menjadi kebiasaan penduduk Sri Lanka, walaupun agama Buddha melarang penganutnya membunuh haiwan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UFwRP3yp 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki pikul 'kediaman' ke kampung halaman



Lingchaou memikul kediamannya sambil berjalan kaki di bandar Liuzhou pada Selasa lalu.- REUTERS


BEIJING - Seorang bekas jurujual di China, Liu Lingchaou, membina sebuah kediaman mudah alih untuk berlindung ketika hujan.
Lelaki berusia 38 tahun itu membina rumah unik itu menggunakan bahan binaan ringan seperti buluh dan plastik.
Lingchaou diberhentikan kerja sejak lima tahun yang lalu dan telah diusir keluar dari rumah.
Dia yang menetap di Shenzhen kemudian mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya di daerah Rongan, dalam wilayah Guangxi dengan berjalan kaki.
Menurutnya, rumah mudah alih itu membuatkan dia berasa bebas dan membolehkan dia berlindung semasa hujan.
Lingchaou memikul struktur seberat 60 kilogram itu dengan berjalan kaki sejauh 32 kilometer sehari.
Dia mencari dan menjual botol-botol minuman sepanjang perjalanan tersebut untuk menyara dirinya.
Kediaman itu itu dibina selebar 1.5 meter dengan tinggi dua meter.
Dia kini berada 32 kilometer dari kampung halamannya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2UFumQr2d 
Hakcipta terpelihara 

Friday, May 24, 2013

Gempa bumi 8.2 skala Richter di pantai timur Rusia


MOSCOW 24 Mei - Satu gempa bumi berukuran 8.2 pada skala Richter melanda perairan pantai timur Rusia, hari ini.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu berlaku pada kedalaman 620 kilometer di Laut Okhostok dan 390 kilometer dari barat berhampiran bandar Petropavlovsk-Kamchatsky.
Gegaran itu turut dirasai di Petropavlovsk-Kamchatsky, bandar utama di Semenanjung Kamchatka dan pangkalan utama kapal selam nuklear di Pulau Sakhalin.
Sementara itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran akan berlaku Tsunami di Sakhlalin dan Pulau Kurile serta menasihati penduduk untuk berpindah dari kawasan merbahaya tetapi menarik balik amaran berkenaan beberapa minit kemudian. - REUTERS


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_10/Gempa-bumi-82-skala-Richter-di-pantai-timur-Rusia#ixzz2UMBQVrwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gumpalan bulu dikeluarkan daripada perut harimau


GAMBAR yang disiarkan oleh pusat Veterinar BluePearl menunjukkan gumpalan bulu seberat 1.8 kilogram yang dikeluarkan dari dalam perut Ty kelmarin.


CLEARWATER - Seekor harimau jantan seberat 180 kilogram di Amerika Syarikat terpaksa dibedah bagi mengeluarkan gumpalan bulu sebesar sebiji bola keranjang.
Harimau berusia 17 tahun bernama Ty itu menyisir dengan menjilat bulunya. Haiwan itu tertelan bulu tersebut sejak sekian lama.
Ty menjalani pembedahan tersebut di sebuah pusat veterinar di sini, dalam negeri Florida.
Beberapa doktor berkata, mereka berjaya mengeluarkan gumpalan bulu seberat 1.8 kg itu dari dalam perut Ty.
Dipelihara oleh agensi Penyelamat dan Pemulihan Hidupan Liar, Ty memerlukan pembedahan selepas binatang buas itu tidak makan selama hampir dua minggu.
Doktor-doktor mengesan kehadiran gumpalan bulu itu menggunakan skop dan kamera.
Ty kini beransur pulih selepas menjalani pembedahan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2UABvw7Jf 
Hakcipta terpelihara 

Pendaki Jepun, manusia tertua takluki Gunung Everest



GAMBAR yang dirakam kelmarin menunjukkan Yuichiro Miura (kanan) dan anak lelakinya, Gota sebelum mereka memulakan pendakian ke puncak Everest.


KATMANDU, Nepal - Seorang pendaki gunung berusia 80 tahun dari Jepun menjadi manusia tertua sampai ke puncak Gunung Everest semalam.
Menurut seorang pegawai agensi pendakian Nepal, Yuichiro Miura tiba di puncak gunung tertinggi di dunia itu pada pukul 9.05 pagi waktu tempatan.
"Saya berjaya!" kata Miura melalui telefon kepada agensi penyiaran Jepun, NHK semasa berada di puncak Everest.
"Saya tidak pernah menyangka dapat menakluki gunung ini pada usia 80 tahun," tambahnya.
Dia mendaki bumbung dunia itu dengan dibantu oleh anak lelakinya dan beberapa penunjuk arah tempatan.
Rekod kategori tersebut sebelum ini dipegang oleh warga Nepal, Min Bahadur Sherchan yang menakluki puncak Everest ketika berusia 76 tahun pada 2008.
Rekod Miura juga dijangka tidak akan bertahan lama kerana Sherchan, 81, akan memulakan pendakiannya ke puncak Everest dari bes kem pada minggu depan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2UABbpwDH 
Hakcipta terpelihara