MORGAN sanggup berdepan risiko ketika merakamkan fenomena unik ini. |
MORGAN sanggup berdepan risiko menghampiri laluan lahar membelah batuan yang boleh menyebabkannya terjatuh apabila struktur batuan menjadi lemah. |
ELEMEN yang digabungkan Morgan di Taman Gunung Berapi Negara di Hilo, Hawaii. |
ALIRAN lahar GunuAng Berapi Kilauea memasuki laut sebelum terbit matahari. |
Demi minat dan kesungguhannya kepada tugasan merakam gambar ekstrem, Miles Morgan rela berdepan dengan bahaya, selain kehilangan kasut serta sebahagian peralatan kamera.
Jurugambar berasal dari Portland, Oregon di Amerika Syarikat itu menghabiskan masanya sejak beberapa tahun lalu mendaki gunung berapi aktif di Kepulauan Hawaii untuk merakamkan aliran lahar dan asap tebal serta debu yang meletus dari kawahnya.
Di laman sesawang Morgan, jurugambar itu menyatakan dia lahir dalam keluarga yang meminati seni fotografi.
“Sepanjang zaman kanak-kanak sehingga remaja, kamera sentiasa menjadi peneman saya,” katanya.
Pada April 2009, Morgan mula merakamkan gambar landskap pergunungan, tasik, padang pasir tandus dalam skala besar.
Tidak lama dulu, jurugambar berusia 41 tahun itu mengubah minatnya kepada gunung berapi.
Dalam banyak misi, buruan Morgan sering membawanya hanya beberapa inci dari lahar gunung berapi yang berselerak di Hawaii.
Pada satu daripada gambar dirakam itu, Morgan mengambil imej dirinya berdiri hanya beberapa meter dari tebing kawah Gunung Berapi Kilauea tanpa mengenakan sebarang pakaian penahan panas.
Kata Morgan, hobinya itu memang sangat berbahaya.
“Di Hawaii, suhu lahar itu boleh mencecah 1,100 darjah,” katanya.
Memburukkan lagi keadaan, di sesetengah tempat batuan yang lebur dan mengalir itu menyebabkan tapak di sekitarnya menjadi tidak stabil.
Dalam keadaan itu, seseorang boleh terjatuh ke dalam lahar bila-bila masa.
Setiap kali menyiapkan misinya, Morgan sentiasa berdepan dengan ancaman lahar, air panas (akibat lahar yang masuk ke laut) serta gas beracun yang dikeluarkan bersama letusan gunung berapi.
Bagaimanapun, setakat ini dia bernasib baik - berbanding tapak kasut dan kaki kamera yang dibawanya.
Pada Januari 2011 lawatan Morgan ke Hilo, Hawaii membawa dia ke kawasan persendirian di pinggir pantai yang dipenuhi aliran lahar gunung berapi.
Fenomena itu memberi peluang kepada Morgan merakamkan imej istimewa yang memaparkan bagaimana aliran lahar membelah batuan hitam ketika ombak laut melanda pantai.
Dalam ceritanya, Morgan berkata, perhatiannya sentiasa terganggu oleh bau hangit daripada kesan terbakar pada tapak kasut serta peralatan kamera yang dibawa.
“Disebabkan ia kawasan persendirian, saya perlu menggunakan khidmat jurupandu.
“Lebih penting, ada aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian dan jurupandu profesional dan berpengalaman dianggap satu kemestian,” katanya.
No comments:
Post a Comment