Pages

Friday, January 11, 2013

Terapi tunggang kuda atasi ketagih



Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kim menunggang seekor kuda di Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda di Incheon barat Seoul 26 Disember lalu. - REUTERS
INCHEON 9 Jan. - Satu program terapi menunggang kuda menjadi kaedah baharu ibu bapa di Korea Selatan untuk membendung masalah ketagihan melayari internet terutamanya laman lucah dalam kalangan remaja negara ini.
Sebagai negara yang dua pertiga daripada penduduknya memiliki telefon pintar, masalah ketagihan terhadap internet dalam kalangan remaja menjadi isu utama di Korea Selatan.
Maklumat kerajaan menunjukkan, kira-kira 680,000 kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 tahun hingga 19 tahun sering menghabiskan masa melayari Internet.
Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan tampil dengan program yang dikenali sebagai 'Shutdown Law' pada tahun lalu iaitu melarang remaja berusia 16 tahun ke bawah melayari internet dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Namun program tersebut tidak memberi kesan positif memandangkan remaja boleh mengakses Internet menggunakan akaun ibu bapa mereka.
Sebagai contoh, kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun yang hanya dikenali sebagai Kim berkata, kebiasaannya dia akan menghabiskan masa selama tujuh jam sehari untuk melayari internet.
Dia menjelaskan, ibu bapanya telah mencuba pelbagai kaedah untuk mengatasi masalah tersebut termasuk memarahinya, menggunakan terapi muzik dan seni, namun masih gagal menyelesaikannya.
Bagaimanapun, pihak sekolahnya mencadangkan terapi di Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda, pertubuhan terapi yang menggunakan kaedah menunggang kuda bagi memulihkan masalah emosi dan kelakuan, termasuklah masalah ketagihan internet.
"Saya hanya memikirkan tentang kuda dan cara untuk menunggang haiwan berkenaan dengan lebih baik.
"Tumpuan saya terhadap kuda juga membuatkan saya semakin hilang minat kepada komputer dan internet," jelas remaja perempuan itu.
Menurut Kim, dia turut menjalani beberapa sesi kaunseling di pusat terapi itu, namun baginya terapi tunggangan kuda merupakan kaedah yang paling berkesan.
Tenaga pengajar menunggang kuda di pusat itu, Yoon Ga-eun berkata, kuda merupakan haiwan yang paling mudah untuk menghubungkan emosi dengan sesiapa sahaja.
Pusat Pemulihan Melalui Menunggang Kuda itu memiliki dua pusat terapi dan kira-kira 50 orang menjalani program rawatan untuk mengatasi masalah seperti tekanan perasaan, penghidap Sindrom Down, Autism dan Attention Deficit-Hyperactivity Disorder (ADHD) serta ketagihan Internet. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130110/lu_06/Terapi-tunggang-kuda-atasi-ketagih#ixzz2HeEvcluj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: