Pages

Friday, January 11, 2013

Menteri Syria 'buang' anak

Warga Iran yang dibebaskan pemberontak Syria ceria selepas tiba di Damsyik. - Foto AP
Warga Iran yang dibebaskan pemberontak Syria
ceria selepas tiba di Damsyik. - Foto 
AP Aleppo: Seorang menteri Syria tidak mengaku anak lelakinya adalah zuriat beliau kerana dia menjadi anggota pemberontak Tentera Syria Merdeka (FSA).

Soal keamanan negara adalah lebih utama daripada semua perkara lain termasuk pertalian keluarga, kata Menteri Negara bagi Hal Ehwal Parlimen, Mohamed Torky El-Sayed yang dipetik agensi berita SANA.
Beliau memberi ulasan itu ketika mengumumkan pendiriannya terhadap anaknya, Bassem.

El-Sayed juga menyifatkan keputusan pemuda itu untuk menyertai FSA hanya mencetuskan kemarahan dan menyebabkan anaknya dibenci.

Hubungan mereka berakhir lebih setahun lalu selepas Bassem mengambil pendirian bercanggah dengan kepentingan negara, kata menteri itu lagi.

El-Sayed mengakui beberapa kali cuba memujuk anaknya tidak menjadi anggota pemberontak yang mahu menggulingkan Presiden Bashar al-Assad, tetapi gagal.

Beberapa laman web pembangkang Syria melaporkan Bassem sudah maut dalam pertempuran di Aleppo baru-baru ini.
Sementara itu, menurut laporan dari Damsyik, pemberontak membebaskan 48 warga Iran dalam tahanan mereka.

Mereka dilepaskan sebagai tukaran pembebasan lebih 2,000 tahanan termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditahan pihak berkuasa Syria.

Persetujuan itu dicapai selepas perunding Turki, Qatar dan Iran menjadi pengantara.

Ia adalah pertukaran tahanan terbesar sejak pemberontakan meletus, 22 bulan lalu.

Warga Iran berkenaan tiba di hotel Sheraton di ibu negara Syria dalam beberapa van dengan diiringi anggota keselamatan.

AGENSI

No comments: