Pages

Wednesday, November 21, 2012

Gencatan 'tak muncul', Israel terus bedil Gaza

Gencatan 'tak muncul', Israel terus bedil GazaSetiausaha Agung Liga Arab, Nabil Elaraby (dua, kanan) dan Perdana Menteri Ismail Haniyeh (dua, kiri) melawat mangsa serangan Israel di Gaza City, semalam. - Foto EPA
GAZA CITY - Rundingan berhubung gencatan senjata untuk menamatkan konflik Gaza masih berterusan dan tiada lagi keputusan muktamad setakat ini walaupun laporan awal mendakwa sudah ada harapan ke arah itu.
Menurut pegawai dari Mesir, walaupun rundingan sedang diadakan, bedilan ke atas Gaza masih lagi berterusan dan hari ini masuk hari kelapan.
“Rundingan masih lagi diteruskan,” kata seorang pegawai Mesir yang enggan dikenali.

Beliau turut berkata yang Kaherah berharap agar perjanjian damai dan arahan gencatan senjata dapat direalisasikan.

Israel masih lagi tertekan dengan serangan roket dari Palestin oleh pihak Hamas dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton pula mengadakan lawatan ke Israel selepas menghadiri sidang kemuncak Asia lewat semalam.

Beliau yang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual berbincang dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Presiden Mesir, Mohammed Morsi.

"Presiden Obama telah meminta saya datang ke Israel dengan mesej yang jelas.

"Komitmen Amerika ke atas keselamatan Israel kukuh dan tidak goyah. Itu sebabnya kami percaya bahawa sangat penting untuk mengatasi ketegangan di Gaza," kata beliau dipetik CNN.

Israel pula bertubi-tubi melakukan serangan ke atas Palestin dan menyasarkan serangan ke bandar-bandar utama di sekitar Gaza yang diperintah Hamas kerana tidak mengiktiraf kewujudan Israel.

Pasukan perubatan di Gaza berkata, seramai 130 orang telah meninggal dunia akibat serangan Israel dan kebanyakannya orang awam terdiri daripada kanak-kanak.
Laporan CNN juga menyebut wujud situasi dan persekitaran seolah-olah serangan kemungkinan akan dihentikan.
Seorang pegawai Hamas memberitahu CNN bahawa "tempoh bertenang" akan diumumkan menjelang jam 9 malam tadi waktu tempatan (awal pagi ini, waktu Malaysia) tetapi tidak berlaku.
Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri kemudian memberitahu bahawa Israel tidak bersetuju dengan terma-terma yang akan membawa kepada usaha menghentikan pertempuran.
Begitu juga dikatakan oleh Presiden Mesir.
Menurut laporan malam tadi (waktu Malaysia), yang memetik Mohammed berkata, serangan Israel ke atas Gaza akan berakhir dalam "beberapa jam" lagi.
Beberapa jam kemudian, pejabat Presiden Mesir memberitahu CNN bahawa jangan mengharapkan apa-apa pengumuman sehingga lewat malam. Keadaan itu berterusan sehingga sekarang sementara tekanan antarabangsa semakin meningkat.

No comments: