BANGKOK – Kerajaan Thailand menaikkan sehingga lima kali ganda pampasan untuk mangsa konflik keganasan di selatan negara itu.
Jurucakap kerajaan Sansanee Nakpong berkata kabinet Thai hari ini meluluskan pelarasan pampasan daripada 100,000 Baht kepada 500,000 Baht (kira-kira RM10,000 kepada RM50,000) bagi mereka yang terbunuh.

Bagi kes hilang upaya, mangsa akan menerima 500,000 Baht berbanding 80,000 Baht sebelumnya.
"Semua pelarasan akan berkuat kuasa hari ini. Mereka yang telah menerima pampasan sebelum ini, boleh memohon bayaran perbezaan berikutan penyelarasan itu," katanya.
Sansanee berkata dengan perkembangan baharu itu, ia memberi manfaat kepada 2,739 kes kematian dan 303 hilang upaya yang dilaporkan mulai 1 Jan 2004 hingga 31 Mei 2012.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan disyaki pemisah menghidupkan kembali kempen bersenjata lapan tahun lepas, bagi menuntut kemerdekaan untuk tiga wilayah selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.- Bernama