TEHERAN: Iran semalam menolak ancaman Israel untuk menyerangnya dengan berkata, sebahagian pegawai Zionis sendiri sedar tindakan ‘bodoh’ itu akan mengundang padah yang amat buruk.
“Kami tidak melayan ancaman itu secara serius kerana kami melihatnya sebagai tidak berasas,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ramin Mehmanparast kepada wartawan dalam taklimat mingguannya semalam.
“Walaupun jika beberapa pemimpin rejim Israel itu mahu melaksanakan tindakan bodoh itu, ada di kalangan mereka dalam kerajaan tahu mereka akan menderita teruk akibat tindakan itu,” katanya.
Menteri Pertahanan Iran, Jeneral Ahmad Vahidi dipetik oleh agensi berita rasmi ISNA sebagai berkata, Israel tidak mampu untuk mencabar kekuatan dan semangat Iran.
Beliau menyifatkan ancaman Israel sebagai ‘satu tanda kelemahan’ oleh ‘pemimpin yang tidak berotak.’ Beliau berkata demikian sebagai mengulas retorik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanannya, Ehud Barak yang sejak beberapa hari lalu berkata, mereka menimbang untuk mengambil tindakan ketenteraan secara lebih serius terhadap kemudahan nuklear Iran.
Media Israel melaporkan ancaman itu secara besar-besaran dengan berkata, keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa minggu. Mereka turut menyiarkan bantahan terhadap rancangan berkenaan oleh pegawai dan bekas pegawai tentera Israel.
Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini menggandakan lawatan oleh pegawai kanannya ke Israel dalam apa yang dilihat sebagai usaha memujuk rejim Zionis itu supaya tidak menyerang Republik Islam berkenaan.
Israel menegaskan Iran semakin hampir untuk menghasilkan senjata nuklear dan mendakwa ia berhak untuk bertindak menghalangnya. - AFP
No comments:
Post a Comment