Pages

Friday, July 13, 2012

Mursi akur perintah mahkamah


KAHERAH 12 Julai - Presiden Mesir, Mohammed Mursi, semalam menyatakan beliau akan menghormati perintah mahkamah yang membatalkan kuasa Presiden bagi mengisytiharkan Parlimen supaya bersidang semula, ditengah-tengah krisis terbaru perebutan kuasa antara Presiden dan majlis pemerintah tentera.
''Jika keputusan Mahkamah Perlembagaan semalam menghalang Parlimen melaksanakan tanggungjawabnya (bersidang), kami akan menghormatinya kerana kita adalah negara yang menghormati undang-undang.
''Rundingan akan diadakan dengan parti dan institusi politik dan majlis agung untuk pihak berkuasa perundangan bagi mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara ini,'' katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan yang dikeluarkan semalam dilihat cuba menenteramkan keadaan melibatkan badan kehakiman, yang kini berada di barisan hadapan dalam konflik pergelutan kuasa antara jeneral berpengaruh dan Presiden baru Mesir itu.
Mursi pada minggu lalu mengarahkan Parlimen supaya bersidang semula, tindakan yang menolak keputusan majlis pemerintah tentera membubarkan badan tertinggi negara tersebut ekoran perintah Mahkamah Perlembagaan sebelum itu yang mendapati pembentukan Parlimen tidak sah pada bulan lepas, sebelum kuasa pentadbiran negara diserahkan kepada Presiden.
Perisytiharan Mursi itu disambut baik oleh penyokong yang mempercayai keputusan Mahkamah Perlembagaan tersebut bermotifkan politik.
Bagaimanapun, tindakan Mursi tersebut dikritik oleh penentangnya yang menuduh beliau bertindak di luar bidang kuasanya.
Menurut Perlembagaan peralihan kuasa di Mesir yang digubal oleh majlis pemerintah tentera yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Presiden, Hosni Mubarak digulingkan pada tahun lepas, majlis tentera akan memegang kuasa Parlimen selepas badan tertinggi negara tersebut dibubarkan.
Keputusan Mursi itu dilihat sebagai cubaan menunjukkan pengaruhnya dalam perebutan kuasa antara pemimpin awam pertama Mesir dan jeneral tentera yang dilantik Mubarak yang mahu mengekalkan kuasa mereka selepas pentadbiran negara dipindahkan kepada kerajaan awam pada 30 Jun lalu. - AFP

1 comment:

Anonymous said...

Rugi kalau serah kuasa pada President. Buisnes pintu belakang dgn Israel perlu diteruskan.