KAHERAH: Majlis Tentera Mesir bertegas bahawa keputusan pihaknya untuk mengambil alih kuasa adalah perlu meneruskan pemerintahan negara.
Pada masa sama ia menyalahkan Ikhwanul Muslimin kerana meningkatkan ketegangan dengan mengumumkan keputusan pilihan raya presiden lebih awal dan mendakwa kemenangannya.
Kenyataan tentera itu dibuat ketika berpuluh ribu penduduk berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah untuk menyokong calon presiden Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi. Penunjuk perasaan juga mengutuk apa yang disifatkan mereka sebagai tindakan menghalang kuasa pemimpin.
Majlis Tentera minggu lalu mengeluarkan satu perisytiharan mengambil alih pemerintahan yang sekali gus mengurangkan kuasa presiden baru dilantik. Ia diikuti dengan kritikan antarabangsa terhadap dokumen itu yang juga mempersoalkan masa perisytiharan.
Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan Morsi sebagai pemenang beberapa jam selepas undian ditutup minggu ini. Dakwaan itu disangkal pesaing Morsi, Ahmed Shafiq yang juga perdana menteri di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.
“Mengumumkan keputusan pilihan raya presiden terlalu awal sebelum kenyataan rasmi adalah tidak adil dan menjadi satu sebab erpecahan dan kekeliruan dalam politik,” kata kenyataan yang dibacakan melalui televisyen tempatan tanpa merujuk Ikhwanul Muslimin secara khusus.
Keputusan rasmi sepatutnya diumumkan Khamis tetapi pihak berkuasa menangguhkannya, menyebabkan dakwaan manipulasi semua pihak termasuk tentera memerintah.
Majlis tentera menolak gesaan mengesahkan semula parlimen diketuai Ikhwanul Muslimin yang dibubarkan berikutan satu keputusan mahkamah minggu lalu. Tentera berkata keputusan mahkamah berkenaan perlu dihormati. – AP
No comments:
Post a Comment