Pages

Saturday, May 26, 2012

Kapsul swasta bersedia berlabuh di ISS



GAMBAR NASA menunjukkan kapal angkasa Dragon (dalam bulatan) berada 350 meter dari ISS untuk misi berlabuh di stesen angkasa lepas itu semalam. - Reuters


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Syarikat AS, SpaceX bersedia untuk melabuhkan kapal angkasa komersial, Dragon di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam.
Pelancaran Dragon merupakan percubaan pertama daripada sebuah syarikat swasta untuk berlabuh di ISS, stesen yang dibina pada kos AS$100 bilion (RM312 bilion).
Sebelum ini hanya Rusia, Jepun dan Eropah sahaja yang mampu membawa bekalan ke ISS.
AS kehilangan kapasiti itu selepas misi kapal angkasa Space Shuttle ditamatkan tahun ini.
Angkasawan ISS merancang untuk membantu menarik kapal angkasa itu dengan lengan robot stesen untuk misi berlabuh di ISS.
Sekiranya Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) memberi lampu hijau, ia dijangka bermula pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan cubaan untuk bercantum bermula sekitar pukul 12.30 tengahari semalam.
"Ia merupakan misi percubaan. Namun, kami sangat optimis,"kata pengarah misi SpaceX, John Couluris.
Mengikut laporan NASA dan SpaceX, penerbangan demonstrasi berjalan lancar sejak kapsul itu dilancarkan dengan menggunakan roket Falcon 9 dari Cape Canaveral di Florida pada Selasa lalu.
Pelancaran kapsul angkasa Dragon ke ruang orbit merupakan yang pertama dilakukan oleh sebuah syarikat swasta yang disifatkan sebagai era baharu oleh White House dan SpaceX. - AFP

No comments: