Pages

Saturday, April 14, 2012

Tiada jemaah Syria tunai umrah

MAKKAH: Tiada jemaah umrah dari Syria tiba di bandar suci ini untuk melakukan ibadah berkenaan sejak Januari lalu.
Seorang anggota jawatankuasa Haji dan Umrah di Dewan Perniagaan dan Industri Makkah berkata, perkembangan itu disebabkan pembatalan penerbangan dan perjalanan bas dari negara itu yang dilanda keganasan sejak tahun lalu.

Ia ditambah buruk dengan penutupan kedutaan dan pejabat konsul Arab Saudi di Syria. “Kami belum menerima sebarang permohonan untuk mengerjakan umrah dari Syria,” kata Ahmad Bajuather, pemilik syarikat haji dan umrah yang menguruskan jemaah dari negara itu.

Menurutnya, jika syarikat umrah dibenarkan mengaturkan perjalanan warga Syria untuk melakukan ibadah itu, mereka akan menolak.

“Memandangkan keadaan di Syria ketika ini, ramai rakyat negara itu sudah pasti mahu datang bekerja dan tinggal di negara ini. Mereka tidak mahu pulang ke negara asal kerana sengketa politik dan kesulitan ekonomi. Kami berdepan dengan risiko tinggi jika mahu mengatur kedatangan jemaah Syria,” kata Ahmad.

Ketua Jawatankuasa Pengangkutan Tempatan, Jameel Al-Qurashi berkata, rakyat Syria menghadapi kesukaran untuk menunaikan umrah tahun ini kerana Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Damsyik. - AN

No comments: