Pages

Saturday, April 14, 2012

Korea Utara malu roket berkecai



GAMBAR fail menunjukkan roket Unha-3 yang membawa satelit di pusat pelancaran Tangachai-ri, Korea Utara pada 8 April lalu.


PYONGYANG – Korea Utara semalam mengumumkan roket jarak jauhnya, Unha-3 gagal menuju ke orbit yang merupakan pengakuan yang memalukan.
Kegagalan tersebut sekali gus memberi tamparan hebat kepada pemimpin muda negara komunis itu, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 20-an.
Jong-un menggantikan bapanya, Kim Jong-il yang mati dipercayai kerana serangan sakit jantung pada Disember tahun lalu.
Pelancaran itu dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-100 kematian pengasas Korea Utara, Kim Il-sung yang juga datuk Jong-un.
Ia juga dilakukan bagi meraikan kebangkitan Jong-un yang kini dilaporkan mahu meneruskan ujian nuklear yang ketiga dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan tentera negaranya.
Satelit yang dihantar itu didakwa Korea Utara akan digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Korea Utara menegaskan, roket membawa satelit itu ke orbit berkecai sebelum jatuh ke laut selepas bergerak dalam jarak yang lebih pendek berbanding sebuah lagi roket yang pernah dilancarkan sebelum ini.
Roket tersebut hanya terbang selama beberapa minit sebelum meletup di laut yang memisahkan Semenanjung Korea dan China.
Pada tahun 2009, sebuah roket Korea Utara berkecai selepas bergerak sejauh 3,800km.
Pasukan Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) memberitahu, bahagian pertama roket itu jatuh ke dalam laut di barat Korea Selatan.
Pelancaran roket itu melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia turut menerima kecaman AS, Rusia, Korea Utara dan Jepun yang mengancam mengetatkan lagi sekatan bagi menghalang Korea Utara membangunkan senjata nuklearnya.
Sementara itu, Setiausaha PBB, Ban Ki-moon meminta Korea Utara supaya berhenti daripada melakukan tindakan provokatif susulan kegagalan pelancaran roket jarak jauh negara berkenaan.
Kenyataan Ki-moon di Geneva dibuat selepas timbuh spekulasi bahawa negara yang dikembali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) itu merancang untuk melakukan ujian nuklear seterusnya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung berkenaan menjelaskan bahawa PBB masih komited untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada Korea Utara.
“Setiausaha Agung PBB menggesa DPRK supaya tidak meneruskan tindakan provokatif yang boleh meningkatkan situasi tegang di rantau Korea,” kata jurucakapnya, Martin Nesirky.
Pelancaran roket jarak jauh tersebut “amat dikesali” dan pada masa yang sama, ia melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata Ki-moon melalui jurucakapnya itu. – Agensi

No comments: